Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1.4 juta rakyat S'pura terima manfaat Bonus Bicentennial Nov ini

Sejumlah 1.4 juta rakyat Singapura akan menerima manfaat Bonus Bicentennial pada November, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (24 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
1.4 juta rakyat S'pura terima manfaat Bonus Bicentennial Nov ini

Sebahagian acara untuk memperingati Bicentennial Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 24 Oct 2019 03:53PM Dikemas Kini : 24 Oct 2019 03:57PM

SINGAPURA: Sejumlah 1.4 juta rakyat Singapura akan menerima manfaat Bonus Bicentennial pada November, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (24 Okt).

Manfaat itu termasuk bayaran wang tunai di bawah skim Baucar GST, tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan bonus Workfare untuk para pekerja bergaji rendah.

Semasa Belanjawan 2019 pada Februari lalu, Pemerintah mengumumkan pakej Bonus Bicentennial S$1.1 bilion untuk memperingati 200 tahun Singapura dan bagi memnyokong golongan memerlukan.

Kesemua 1.4 juta rakyat Singapura dewasa berusia 21 tahun dan ke atas tahun ini, dengan pendapatan yang boleh ditaksir sehingga S$28,000 untuk 2018, akan menerima bayaran tunai Baucar GST pada November.

Para penerima yang layak akan menerima sama ada S$150 atau S$300, bergantung kepada nilai rumah mereka.

Seramai 400,000 pekerja yang layak bagi Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan menerima Bonus Bicentennial Workfare pada hujung Oktober.

Mereka akan menerima tambahan 10 peratus daripada jumlah bayaran tahunan untuk kerja yang dilakukan pada 2018, atau bayaran sekurang-kurangnya S$100, bagi membantu dalam perbelanjaan harian mereka, menurut MOF.

Golongan berkeperluan khas dan berusia di bawah 35 tahun pada 2018, serta memenuhi syarat kelayakan WIS, akan menerima antara S$100 hingga S$150 berdasarkan pekerjaan yang dilakukan tahun lalu.

Rakyat Singapura yang layak untuk Baucar GST serta Bonus Bicentennial Workfare, dan sudahpun mendaftarkan nombor telefon mereka dengan SingPass, akan menerima pemberitahuan selewat-lewatnya hujung bulan ini. Surat juga akan dikirimkan kepada semua warga Singapura yang layak.

Keseluruhannya, 300,000 rakyat Singapura bakal mendapat tokokan CPF dan akan menerima kedua-dua surat pemberitahuan serta pembayaran pada bulan depan.

Mereka yang berusia antara 50 hingga 54 tahun akan menerima S$300 hingga S$1,000, bergantung kepada gabungan baki Akaun Biasa (OA) dan Akaun Khas (SA) CPF atau Akaun Persaraan (RA) mereka.

Untuk layak bagi tokokan tersebut, pendapatan boleh ditaksir seseorang individu untuk 2018 mesti tidak boleh melebihi S$28,000. Nilai tahunan rumah individu juga tidak seharusnya melebihi S$21,000 pada 31 Disember 2018 dan beliau tidak seharusnya memiliki lebih daripada satu hartanah.

Manfaat Bonus Bicentennial lain juga sudahpun diagihkan sepanjang beberapa bulan lalu.

Tokokan bagi Akaun Edusave dan Akaun Pendidikan Posmenengah diselesaikan pada Jun, memberi manfaat kepada 570,000 pelajar.

Para pelajar sekolah rendah dan menengah menerima tokokan Edusave bernilai S$150 manakala golongan yang berusia antara 17 hingga 20 tahun menerima sehingga S$500 dalam akaun PSEA mereka.

Semua penduduk yang membayar cukai akan menerima rebat 50 peratus pada cukai peribadi mereka, dengan jumlah itu dihadkan kepada S$200, yang akan diberikan bagi Tahun Penilaian 2019. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan