Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,000 pekerja M'sia yang kekal di Spura terima agihan makanan dari warga tempatan

Sejak 12 minggu lalu, sekitar 1,000 pekerja dari Malaysia yang kekal di Singapura dibantu sebuah kumpulan tidak formal tempatan bagi memastikan mereka tidak ketandusan bekalan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak 12 minggu lalu, sekitar 1,000 pekerja dari Malaysia yang kekal di Singapura dibantu sebuah kumpulan tidak formal tempatan bagi memastikan mereka tidak ketandusan bekalan makanan.

Usaha itu dijalankan ekoran kos makanan dan sara hidup yang lebih tinggi di sini yang perlu dihadapi para pekerja Malaysia berkenaan.

Sekumpulan rakyat Singapura itu akan bergotong-royong menyediakan makanan percuma di kolong blok 642 Pasir Ris. Makanan itu kemudian akan diagihkan kepada para pekerja Malaysia yang memilih untuk menetap di sini ekoran sekatan sempadan kedua-dua negara.

Sejak sekatan sempadan COVID-19 dilaksanakan kedua-dua negara pada Mac lalu, warga Malaysia yang bekerja di sini terpaksa membuat pilihan sukar untuk terus berada di sini ataupun pulang ke tanah air.

Untuk mereka terus berada di sini, mereka perlu berdepan beberapa cabaran seperti kos sara hidup lebih tinggi.

Mujur tampil insan berhati mulia seperti Cik Salila Salim dan Encik Ghifari Mohd Razib yang mendermakan satu hidangan sehari bagi para pekerja Malaysia itu.

"Apabila kami dapat tahu pekerja Malaysia yang kekal di sini kurang dapat makanan kerana harga makanan di sini mahal, kami serta rakan beramai-ramai menggabungkan tenaga, kewangan dan pendanaan untuk memberikan mereka makan setiap hari," kata Encik Ghifari.

Cik Salila berkata: "Kami berbesar hati dapat membantu dengan apa-apa yang mereka perlukan dari segi bantuan makanan dan barangan dapur."

Kesemua usaha itu dijalankan sendiri tanpa bantuan mana-mana badan kemasyarakatan. Ia sebaliknya dibiayai dari sumbangan ikhlas orang awam ataupun tajaan kedai makan.

Sejauh ini, lebih $15,000 disumbangkan kepada pasukan Cik Salila bagi pembelian makanan, barangan dapur dan seharian serta keperluan Hari Raya baru-baru ini demi menambah sedikit keceriaan Lebaran para pekerja Malaysia itu.

"Para penderma yang menderma sumbangan makanan kepada kami pekerja-pekerja Malaysia yang terkandas. Sedikit sebanyak membantu kami, meringankan beban kami, merasai makanan selera Melayu terutama sekali waktu Hari Raya Aidilfitri," kata seorang pekerja Malaysia, Muhd Zulhaffizreey Zulkifli.

Seorang lagi pekerja Malaysia turut berkata: "Perasaan saya amat gembira sekali dengan bantuan-bantuan begini. Kami sungguh tidak menjangka dengan bantuan-bantuan ini dari awal kami di Singapura hingga ke hari ini. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan kami yang berjauhan dengan keluarga dan menjalani kehidupan dan bekerja di sini dengan lebih semangat lagi."

Cik Salila memberitahu bahawa pasukannya itu akan terus menyediakan makanan percuma setiap hari sehinggalah keadaan COVID-19 bertambah baik.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan