1,000 orang sertai 'Fiesta Kesihatan' GRC Nee Soon
Sekitar 1,000 orang mengunjungi 'Fiesta Kesihatan' yang berlangsung hari ini (3 Mac) bagi meningkatkan kesedaran para penduduk GRC Nee Soon tentang kehidupan sihat.
SINGAPURA: Sekitar 1,000 orang mengunjungi 'Fiesta Kesihatan' yang berlangsung hari ini (3 Mac) bagi meningkatkan kesedaran para penduduk GRC Nee Soon tentang kehidupan sihat.
Acara-acara menarik di fiesta yang diadakan di Yishun itu, termasuklah tunjuk cara masakan India yang lebih sihat serta permainan interaktif.
Ia bermatlamat memupuk amalan gaya hidup sihat serta menggalak orang ramai supaya bersenam melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, yang mengetuai GRC tersebut, menyertai fiesta itu bersama-sama empat lagi AP kawasan undi itu, termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
"Kita dapat melihat lebih ramai yang tampil ke hadapan untuk melihat bagaimana mereka boleh mempunyai gaya hidup sihat dan mereka lebih sedar dan akur tentang pentingnya gaya hidup sihat," kata Dr Faishal, yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon.
Beliau menambah: "Dengan adanya Pakej Generasi Merdeka dan Pakej Generasi Perintis, saya yakin kita boleh membangunkan satu masyarakat yang sedar dan juga membangunkan kehidupan yang lebih sihat.
"Yang lebih penting dengan sokongan yang diberikan oleh pemerintah, ia memberi ketenangan fikiran pada mereka supaya kehidupan mereka lebih bahagia, lebih baik dan dapat hidup dengan lebih selesa dan tenang di Singapura."
Fiesta itu dianjurkan Jawatankuasa Penyelaras Kegiatan-Kegiatan India Persatuan Rakyat (IAEC) GRC Nee Soon dengan sokongan Hospital Khoo Teck Puat dan Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.