1,000 kanak-kanak susah dapat bijirin sarapan percuma
Seramai 1,000 kanak-kanak dari keluarga susah akan disajikan bijiran sarapan sepanjang enam bulan, ihsan daripada Nestle Singapore dengan kerjasama NTUC FairPrice dan The Food Bank Singapore.
SINGAPURA: Seramai 1,000 kanak-kanak dari keluarga susah kini boleh memulakan hari mereka dengan lebih bertenaga.
Ini kerana sepanjang enam bulan akan datang, mereka akan disajikan dengan sarapan bijirin yang berkhasiat, ihsan daripada Nestle Singapore dengan kerjasama NTUC FairPrice dan The Food Bank Singapore.
Sarapan merupakan hidangan paling penting dalam kehidupan seharian kita. Namun bagi sesetengah keluarga susah, hidangan ringkas itu masih dianggap sebagai suatu kemewahan.
Oleh itu, inisiatif tersebut dimulakan bagi memastikan kanak-kanak dari keluarga sedemikian mendapat nutrien atau bahan galian yang mencukupi sebelum memulakan hari mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC FairPrice, Encik Seah Kian Peng berkata: "Saya rasa mesej penting, objektif penting projek ini ialah untuk betul-betul memastikan setiap daripada kita, muda dan tua, mengambil sarapan berkhasiat sebelum memulakan hari kita."
Di acara pelancarannya semalam, beg-beg yang mengandungi bijirin sarapan diagih-agihkan kepada kanak-kanak dari Pusat Jagaan Pelajar Methodist Welfare Services.
Sekitar 80 peratus pelajar dari pusat tersebut datang dari keluarga-keluarga susah.
Salah seorang penerimanya ialah Junaina Johari, 10 tahun.
"Saya rasa gembira kerana ini kali pertama saya dapat bijirin, dan saya pasti keluarga saya akan gembira kerana mereka dapat bijirin untuk makan bersama-sama untuk sarapan," katanya.
Kira-kira 23,000 kotak bijirin akan diagihkan sepanjang enam bulan akan datang. Ia akan membolehkan lebih 180,000 sarapan bijirin disajikan kepada para penerima dalam tempoh tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.