Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,000 hidangan percuma setiap minggu buat penduduk Woodlands berkat inisiatif Ramadan Belanja A Meal@Woodlands

Pilihan juadah berbuka puasa yang lebih luas kini menanti para penduduk Woodlands. Ini kerana di bawah inisiatif Ramadan Belanja A Meal@Woodlands, seramai 1,000 penduduk akan berpeluang menebus makanan percuma setiap minggu dari tiga pusat makanan di sekitar Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pilihan juadah berbuka puasa yang lebih luas kini menanti para penduduk Woodlands.

Ini kerana di bawah inisiatif Ramadan Belanja A Meal@Woodlands, seramai 1,000 penduduk akan berpeluang menebus makanan percuma setiap minggu dari tiga pusat makanan di sekitar Woodlands.

Inisiatif ini adalah lanjutan daripada program 'Belanja A Meal' yang sudah dilaksanakan di Woodlands.

Sejurus selepas menerima kod QR khas yang dihantar ke telefon bijak pemohon, mereka dibolehkan untuk menebus makanan.

Setiap isi rumah hanya boleh mendaftarkan sehingga lima nama sahaja.
Usaha ini dibuka kepada semua anggota masyarakat, tanpa mengira kaum atau agama.

Namun, keutamaan akan diberikan kepada para penduduk di Woodlands.
Inisiatif ini dijalankan sepanjang bulan Ramadan.

Kaedah ini dikhususkan bagi mereka yang sudah lanjut usia dan golongan kurang upaya.

HAMPIR 700 PENDUDUK SUDAH MENDAFTAR UNTUK TEBUS MINGGU KEDUA RAMADAN

(Gambar: Syawal Yusoff)

Secara keseluruhannya, sebanyak 13 gerai mengambil bahagian untuk menyokong usaha murni ini di tiga kawasan - Blok 806 Woodlands Street 81, Blok 834 Woodlands Street 83 dan Pusat Penjaja Kampung Admiralty.

Pilihan makanan yang ditawarkan berharga S$4 setiap seorang, dengan pilihan makanan Melayu, India dan Barat.

Sekiranya hidangan yang ingin dibeli melebihi S$4, pelanggan hanya perlu menokok bakinya saja.

Menurut Encik Mohamed Sehu Nina Mohd yang memiliki kedai menjual makanan India, Mr Sehu Food Palace, sambutan minggu pertama cukup memberangsangkan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi pemilik gerai masakan Melayu, Warong Lorong Fatimah, Cik Soryati Pokol mengambil kesempatan ini untuk memperluaskan amal jariahnya.

"Biasanya pada bulan Ramadan yang mulia ini, kita selalu bersedekah, jadi ini adalah program yang melangkah lagi satu tapak. Saya pun dapat memperkenalkan makanan-makanan yang ada di sini seperti nasi sambal goreng, nasi ambeng, macam-macam lagi," kata Cik Soryati yang menyaksikan sehingga 100 penebusan makanan di gerainya.

USAHA KEMBALIKAN SUASANA RAMADAN MESKI DI TENGAH-TENGAH COVID-19

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar turut hadir untuk melancarkan program Ramadan Belanja A Meal@Woodlands di Kampung Admiralty hari ini.

Beliau berharap inisiatif tersebut sedikit sebanyak akan dapat mengembalikan suasana bulan puasa yang pernah dirasakan di kawasan Woodlands sebelum pandemik melanda semasa nasi beriani diagihkan secara percuma setiap minggu sepanjang Ramadan dua tahun lalu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi menyemarakkan lagi semangat bulan mulia Ramadan, Cik Mariam Jaafar turut mengagihkan kurma secara percuma sambil beramah mesra bersama dengan para penduduk di sekitar Woodlands.

Meskipun hujan lebat, beliau dan pasukannya dari Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Woodlands dan Pejabat Digital Woodlands turut mengunjungi Woodlands North Plaza dan kedai-kedai kopi di Blk 806 Woodlands Street 81 dan Blk 834 Woodlands Street 83.

AP GRC Sembawang itu turut berbuka puasa bersama para penduduk yang hadir di Kampung Admiralty.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan