Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura kesan dua kes import COVID-19 diuji awal positif varian Omicron: MOH

Dua penumpang yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan melalui penerbangan Singapore Airlines pada Rabu (1 Dis) diuji "awal positif" bagi varian COVID-19 Omicron menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Dec 2021 08:22PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 09:27PM

SINGAPURA: Dua penumpang yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan melalui penerbangan Singapore Airlines pada Rabu (1 Dis) diuji "awal positif" bagi varian COVID-19 Omicron menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis.

"Kedua-dua kes diasingkan sejurus tiba di Singapura pada 1 Disember dan tidak berinteraksi dengan masyarakat," menurut MOH.

"Buat masa ini tiada bukti sebarang penularan dalam masyarakat daripada kes berkenaan."

Mereka kini sedang dirawat di wad pengasingan di Pusat bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Kedua-duanya sudah lengkap divaksin dan mengalami gejala ringan batuk dan tekak gatal.

Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg menaiki penerbangan SIA SQ479 pada Rabu.

Kes 271487 adalah seorang lelaki penduduk tetap Singapura berusia 44 tahun yang tiba di Singapura dari Mozambique dan transit di Johannesburg. Hasil ujian sebelum berangkat yang diambilnya di Mozambique pada 29 November negatif COVID-19.

Kes 271598 adalah wanita Singapura berumur 41 tahun yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan pada 1 Disember. Ujian sebelum pelepasan yang diambilnya di Johannesburg pada 29 November juga negatif.

Kedua-duanya menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) sebaik tiba di Singapura. Mereka segera dibawa ke sebuah kemudahan khas bagi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) untuk menjalani pengasingan sementara menunggu hasil ujian mereka. Sebaik sahaja disahkan positif COVID-19, mereka dibawa ke NCID.

Hasil ujian PCR mendedahkan kewujudan genom Kegagalan Sasaran gen-S yang mungkin terkait dengan varian Omicron. Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang menjalankan penjujukan genom menyeluruh untuk mengesahkan varian itu.

PENGESANAN KONTAK

MOH menyatakan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Semua 19 penumpang lain dalam penerbangan yang sama diuji negatif COVID-19.

Mereka dikuarantin di bawah SHN di kemudahan khas sebaik tiba di Singapura dan akan menjalani rejim ujian termasuk ujian PCR pada hari ketibaan serta ujian PCR sewaktu tamat SHN.

"Kontak rapat lain kes ini, jika ada, akan diletakkan di bawah kuarantin 10 hari di kemudahan khas dan akan menjalani ujian PCR pada awal dan akhir tempoh kuarantin mereka," menurut MOH.

Semua pesakit yang disyaki atau disahkan dijangkiti varian Omicron akan dibawa ke NCID bagi pengasingan dan pengurusan klinikal. Mereka tidak akan dibenarkan menjalani pemulihan di rumah.

"Penting bagi semua orang untuk terus memainkan peranan mereka dan kekal berwaspada untuk mengurangkan penularan COVID-19," tegas MOH. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan