Singapura catat kematian ke-45 akibat COVID-19; lelaki 90 tahun yang sudah lengkap divaksin
Seorang lelaki Singapura berusia 90 tahun meninggal dunia pada Selasa (17 Ogos) kerana komplikasi COVID-19.
Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: TODAYonline)
SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura berusia 90 tahun meninggal dunia pada Selasa (17 Ogos) kerana komplikasi COVID-19.
Dalam satu kenyataan media, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan lelaki itu mengalami gejala koronavirus pada 29 Julai dan dikesan apabila beliau diuji bagi COVID-19 pada 1 Ogos sebagai sebahagian daripada ujian pemantauan dalam masyarakat oleh kementerian tersebut.
Lelaki itu dibawa ke Hospital Tan Tock Seng pada keesokan harinya kerana sesak nafas nafas dan rasa pening.
Beliau terus dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) kerana mengalami sepsis dari radang paru-paru.
"Beliau sudahpun lengkap divaksinasi terhadap COVID-19 tetapi lanjut usia dan mempunyai sejarah penyakit ginjal kronik dan tekanan darah tinggi," menurut MOH.
Ini merupakan kematian kelapan akibat COVID-19 bulan ini dan beliau merupakan pesakit pertama meninggal dunia akibat masalah kesihatan berkaitan koronavirus selepas lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
Kini terdapat 45 pesakit koronavirus yang meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi CoVID-19.
Pada Selasa, MOH mencatat 56 kes baru COVID-19 membawa jumlah kes keseluruhan kepada 66,281 sejak penularan tercetus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.