Skip to main content

Singapura akan melabur dalam rakyatnya, perkukuh kekuatan dan prasarana: Chan Chun Sing

Pemerintah akan terus melabur dalam negara ini dan rakyatnya untuk mengembangkan perniagaan baru dan mewujudkan pekerjaan yang baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura akan melabur dalam rakyatnya, perkukuh kekuatan dan prasarana: Chan Chun Sing

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 14 Jun 2020 08:01PM Dikemas Kini : 14 Jun 2020 08:07PM

SINGAPURA: Pemerintah akan terus melabur dalam negara ini dan rakyatnya untuk mengembangkan perniagaan baru dan mewujudkan pekerjaan yang baik.

Untuk mencapainya, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata adalah penting untuk membangunkan kekuatan yang membezakan Singapura dan melabur dalam prasarana bagi jangka masa panjang.

Demikian kata Encik Chan hari ini (14 Jun) dalam ucapannya kepada seluruh rakyat Singapura.

Ucapannya adalah yang keempat dalam siri Siaran Nasional oleh enam pemimpin negara ini untuk membentangkan rancangan bagaimana Singapura boleh bangkit lebih kukuh daripada penularan COVID-19.

Pandemik COVID-19 yang sedang melanda menjejas kehidupan dan mata pencarian segenap masyarakat seluruh dunia dan Singapura juga tidak terkecuali.

Encik Chan berkata ramai di sini sudah hilang pekerjaan dan ada pula melihat pendapatan mereka berkurangan.

Namun begitu, kata beliau pemerintah tidak akan membiarkan berlakunya pengangguran yang meluas sehingga menghakis keyakinan dan harapan rakyat.

Maka itu, keutamaan segera pemerintah adalah membantu syarikat menyusun semula operasi dan meneroka pasaran baru.

Encik Chan menambah satu lagi tumpuan adalah untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dan latihan pada tahun-tahun mendatang.

"Angka 100,000 tersebut adalah tiga kali ganda apa yang biasa diwujudkan dalam masa setahun. Inilah yang kita perlukan, untuk bantu mereka yang tamat sekolah dan yang dibuang kerja. Sekiranya keadaan bertambah buruk, kami akan lipat gandakan lagi usaha," kata Encik Chan.

Menurutnya hampir S$100 bilion diperuntukkan pemerintah bagi membantu mencapai objektif itu serta merancang, menyesuaikan diri dan melaksanakan kesemua rancangan.

Pemerintah katanya akan melabur dalam membangunkan kekuatan tidak ketara yang membezakan Singapura.

Sebagai contoh, kata beliau pemerintah akan memperkukuhkan daya tahan dengan mempelbagaikan sumber bekalan, memeterai perjanjian perdagangan untuk merangsang peluang perniagaan dan menarik pelaburan baru serta memastikan Singapura kekal menjadi jenama yang diyakini.

"Semasa krisis ini, kita terus membuktikan kepada dunia bahawa Singapura boleh dipercayai. Kita tidak kenakan sekataan eksport atau menyekat pelaburan asing. Kita membuka sektor pengilangan bagi rantaian bekalan global termasuk bahan penting untuk pelitup. Kita bekerjasama dengan syarikat untuk meningkatkan penghasilan mereka supaya dapat memenuhi keperluan Singapura dan dunia serta kita memudahkan aliran berterusan barangan dan tenaga manusia penting melalui pelabuhan dan lapangan terbang kita," ujar Encik Chan lagi.

Satu lagi pelan jangka panjang, kata Encik Chan, adalah untuk terus membina prasarana keterhubungan seperti Kawasan Digital Punggol dan Kawasan Tasik Jurong yang akan meningkatkan banyak perniagaan serta pekerjaan.

Dalam pada itu, Encik Chan menekankan bahawa pemerintah akan memastikan setiap rakyat Singapura akan menikmati hasil pertumbuhan negara pada masa akan datang.

Kunci kepada matlamat itu adalah usaha transformasi dan penyertaan digital negara - dan membantu syarikat tempatan untuk melonjak ke pasaran antarabangsa.

Beliau menjelaskan bahawa syarikat tempatan yang berpotensi dan bersedia akan dibantu untuk bersaing di peringkat global.

Para pelajar akan mendapat lebih banyak pendedahan di luar negara manakala pekerja akan mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran.

"Janji kami adalah: Kami akan mewujudkan peluang bagi semua rakyat Singapura tidak kira usia anda untuk memperbaiki kehidupan anda pada setiap fasa kerjaya anda. Asalkan anda boleh dan rela, kami akan menyokong anda," tambah Encik Chan. 

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita