Images
  • zz (1)
    Zahier Samad yang buta dan adiknya di Tembok Besar China. (Gambar Ihsan: Nur Hanis Bin Samad)

Buta tidak bermakna tidak boleh bercuti; malah mampu panjat Tembok Besar China!

BERITAMediacorp: Kurang upaya, tetapi tidak bermakna tidak berupaya. Kurang upaya tetapi tidak bermakna harus mengurung diri di dalam negeri sahaja.

Sebaliknya walaupun buta, lumpuh kaki ataupun menghidap penyakit polio, golongan sedemikian masih boleh melancong atau ke luar negara. Itulah yang dibuktikan tiga orang kurang upaya dalam laporan BERITAMediacorp ini.

Memang hakikatnya, melancong ke luar negara bagi golongan sedemikian banyak cabarannya. Banyak persediaan yang perlu dibuat dengan lebih awal. Pelbagai aspek keselamatan dan logistik perlu diberi perhatian. Yang pasti juga, banyak perkara tidak dijangka masih tetap akan mereka hadapi.

Namun pada akhirnya, seperti kata pepetah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, seperti kisah Encik Muhammad Zahier Samad, Cik Faridah Salleh dan Encik Omar Azman ini.


Zahier dan adiknya

ZAHIER SAMAD - PENGALAMAN BERCUTI KE LUAR NEGARA


Encik Muhammad Zahier Samad, 30 tahun hilang daya penglihatannya sejak beliau berusia 19 tahun setelah retina matanya terputus. Meskipun beliau tidak lagi boleh melihat, beliau masih mengikut keluarganya bercuti.

Disebabkan keadaannya itu, Encik Zahier memberitahu bahawa beliau selalunya akan diberi tempat duduk di bahagian depan pesawat supaya berdekatan dengan tandas. Dengan itu, anak kapal juga boleh menghulurkan bantuan kepadanya dengan lebih mudah.


Zahier bersama keluarganya


Encik Zahier turut memberitahu pihak BERITAMediacorp bahawa dua tahun lalu, beliau bercuti ke negara China bersama ibu bapa dan dua adiknya. Keluarganya mendapatkan khidmat pemandu pelancong privet supaya sebarang keperluan Encik Zahier dapat dipenuhi.

ISU KESELAMATAN CABARAN UTAMA PELANCONG BUTA

Oleh sebab Encik Zahier tidak dapat melihat, isu keselamatan adalah keutamaan keluarganya.

“Ibu sering mengingati adik saya supaya sentiasa berada di sebelah saya dan jangan membiarkan saya berjalan seorang diri. Selain itu, jika ada sesiapa yang ingin bercakap dengan saya, saya harus pastikan yang adik saya turut ada bersama,” beritahu Encik Zahier sambil tersenyum.




Meskipun beliau tidak dapat melihat, beliau tidak melepaskan peluang untuk memanjat Tembok Besar Negara China. Bagi orang biasa, memanjat tembok bersejarah itu masih tetap mencabar. Inikan pula tanpa penglihatan.

“Pemandu pelancong itu turut prihatin tentang keselamatan saya kerana beliau takut jikalau saya berjalan ke tepi sangat, saya akan terjatuh dari Tembok Besar China itu,” kata Encik Zahier sambil ketawa.

SUAMI ISTERI MENGALAMI POLIO TAPI BUKAN ALASAN TIDAK MELANCONG

Bagi Cik Faridah Salleh pula, yang berusia 62 tahun, beliau tidak boleh berjalan seperti biasa kerana mengalami penyakit polio. Suaminya juga mengalami polio tetapi masih boleh berjalan.

Setiap kali beliau sekeluarga bercuti, ketiga-tiga anaknya yang berumur antara 22 tahun dengan 28 tahun, akan memastikan bahawa tempat yang akan mereka kunjungi itu mesra kerusi roda.


(Gambar: Faridah Salleh)


Mereka turut memastikan bahawa bilik hotel yang didiami mereka berdekatan dengan lif dan biliknya lapang untuk pergerakan kerusi roda.

Apabila menempah tiket pesawat pula, Cik Faridah akan memastikan bahawa beliau memaklumkan pihak pesawat tentang kerusi rodanya. Seorang kakitangan akan menolaknya hingga sampai ke pintu pesawat.

Cik Faridah amat bersyukur kerana anak-anaknya tidak mengeluh tentang keadaannya itu. Sebaliknya mereka amat prihatin tentang keselamatannya dan suaminya.

“Saya memastikan keselamatan ibu bapa saya dengan sentiasa bersama mereka. Sebagai contoh, untuk adik saya, dia akan selalu berada di sisi bapa saya. Bapa saya juga menghidap polio tetapi beliau masih boleh berjalan. Namun bagi ibu saya, saya akan menolak dan menjaganya,” kata Cik Nur Farhana, 28 tahun, anak sulung Cik Faridah.


Faridah Salleh bersama keluarga


Namun tidak semuanya berjalan licin. Pernah, semasa beliau sekeluarga berada di Hong Kong, mereka tidak menemui sebarang lif di stesen kereta api.

Akhirnya, anak lelakinya terpaksa mengangkat kerusi roda untuk naik ke atas. Beliau pula tiada pilihan selain menaiki tangga yang tinggi sekali meskipun keadaannya sedemikian.

HIDAP 'CEREBRAL PALSY', GUNA KERUSI RODA BERMOTOR

Bagi Encik Omar Azman, 22 tahun pengalaman beliau ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk mewakili Singapura dalam Sukan Para ASEAN 2017 baru-baru ini merupakan kenangan cukup manis, meskipun agak mencabar bagi dirinya.


(Gambar: Andrew Tan/ SportSG)


Beliau sebenarnya tidak boleh berjalan langsung kerana menghidap Palsi Serebrum (Cerebral Palsy). Encik Omar menggunakan kerusi roda bermotor untuk bergerak.

Malah, beliau seorang pelatih di Cerebral Palsy Alliance Singapore's Goodwill, Rehabilitation and Occupational Workshop (GROW).

Beliau menceritakan kepada BERITAMediacorp bahawa perjalanan untuk ke Kuala Lumpur begitu mencabar dan melelahkan. Ini kerana beliau perlu dibantu untuk beralih dari kerusi roda bermotornya dan menggunakan kerusi roda yang biasa untuk ke tempat duduknya di dalam kapal terbang.

“Masa menunggu di tempat imigresen juga agak lama dan tempatnya sempit, jadi susah untuk saya masuk,” jelas Encik Omar lagi tentang keadaaan di lapangan terbang Kuala Lumpur.


(Gambar: Alfie Lee/ SportSG)


Meskipun ia memerlukan banyak usaha dan keberanian untuk melancong ke luar negara bagi golongan kurang upaya mahupun ahli keluarga mereka, ia merupakan kenangan manis yang tidak akan mereka lupakan sampai bila-bila.

Kini dengan semakin banyak negara dan pertubuhan di dalam dan luar negara terus menjadi lebih inklusif dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan kurang upaya, melancong merentasi benua pasti akan terus menjadi lebih mudah untuk golongan sedemikian. 

- BERITAMediacorp/na

Top