Skip to main content

Iklan

Iklan

SGH, SKH lapor lonjakan jumlah pesakit A&E; gesa kes tidak kritikal jumpa GP

Dua hospital - Hospital Besar Sengkang (SKH) dan Hospital Besar Singapura (SGH) - menggesa orang ramai agar elak daripada dapatkan rawatan di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) hospital tersebut sekiranya keadaan mereka tidak kritikal.

Anggaran Waktu Membaca:
SGH, SKH lapor lonjakan jumlah pesakit A&E; gesa kes tidak kritikal jumpa GP

Jabatan A&E di Hospital Besar Sengkang pada 1 Mei 2021. (Gambar: Ooi Boon Keng/TODAY)

Diterbitkan : 01 May 2021 09:11PM Dikemas Kini : 01 May 2021 09:14PM

SINGAPURA: Dua hospital - Hospital Besar Sengkang (SKH) dan Hospital Besar Singapura (SGH) - menggesa orang ramai agar elak daripada dapatkan rawatan di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) hospital tersebut sekiranya keadaan mereka tidak kritikal. Menurutnya bilangan pesakit melonjak dan mereka boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama.

“Wad-wad kami juga beroperasi pada kapasiti penuh buat masa ini. Kami meminta anda supaya mendapatkan jagaan perubatan di klinik GP atau poliklinik jika keadaan anda tidak kritikal," tulis SKH dalam laman Facebooknya pada pagi Sabtu (1 Mei).

Terdapat lonjakan sekitar 20 hingga 30 peratus lebih ramai pesakit di jabatan A&E hospital itu sepanjang tiga hari lalu berbanding purata hariannya, menurut seorang jurucakap SKH dalam responsnya kepada pertanyaan TODAY.

SGH juga memuat naik satu catatan Facebook pada pagi Jumaat yang melaporkan "jumlah tinggi pesakit" di jabatan A&E.

Ia menambah keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sakit teruk dan ini bermakna masa menunggu bagi pesakit lain dijangka menjadi lebih lama.

Kedua-dua hospital itu hanya akan membenarkan satu individu untuk menemai pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan. Kedua-dua SKH dan SGH adalah hospital di bawah kumpulan SingHealth.

Pengumuman daripada kedua-dua hospital itu dibuat berikutan berita mengenai kelompok COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang melibatkan lima kakitangan dan lapan pesakit setakat Jumaat lalu. Tiga lagi kes dilaporkan pada Sabtu, membawa kelompok itu kepada 16 kes kesemuanya.

Pihak berkuasa kesihatan menyatakan para pesakit di TTSH sudah dipindahkan ke hospital-hospital lain, di mana empat wad ditutup bagi membendung penularan virus.

Apabila dihubungi bagi mendapatkan penjelasan di sebalik langkah-langkah lebih ketat itu, kedua-dua SGH dan SKH menjelaskan ia bertujuan untuk mengawal aliran orang ramai dan memastikan kapasiti jagaan kesihatan diutamakan bagi pesakit yang amat memerlukan bantuan perubatan.

Menjawab pertanyaan TODAY, Dr Kenneth Tan, ketua dan perunding kanan jabatan perubatan kecemasan SGH, berkata pada Sabtu bahawa hospital itu juga menyaksikan jumlah harian pesakit yang lebih tinggi daripada biasan di jabatan kecemasannya.

Beliau tidak memberikan perangkaan tetapi menambah: "Kami tidak menghalau mana-mana pesakit yang datang ke jabatan kecemasan kami untuk mendapatkan perhatian perubatan. Demi mengawal keadaan kesesakan serta memastikan langkah-langkah pengurusan selamat dipatuhi, kami hanya akan membenarkan seorang sahaja untuk menemani setiap pesakit."

Mereka yang mempunyai keadaan bukan kecemasan seperti selesema, terseliuh atau sakit perut, digalakkan berjumpa dengan GP supaya sumber serta ruang di jabatan kecemasan boleh digunakan bagi kes-kes mendesak, jelas beliau.

Jurucakap SKH berkata jumlah orang yang datang ke jabatan kecemasannya turun naik setiap hari dan boleh melebihi 350 kes pada sesetengah hari, lantas akan menjejas waktu menunggu.

Apabila ditanya sama ada kelonjakan dalam kes itu berkaitan dengan perkembangan di TTSH, jurucakap di SKH berkatan akibat angka harian yang turun naik, tidak dapat dipastikan jumlah lebih tinggi kes A&E ada kaitan langsung dengan langkah TTSH memindahkan semua kes yang tidak mengancam nyawa ke hospital-hospital lain".

Beliau menambah: "Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan perubatan di jabatan kecemasan hanya bagi kecemasan serius, mendesak dan yang mengancam nyawa.

“Bagi masalah-masalah perubatan biasa dan ringan, tempat pertama untuk mendapatan bantuan perubatan adalah doktor keluarga di kawasan kejiranan."

TODAY sudahpun menghubungi MOH bagi mendapatkan ulasan.

KEADAAN A&E KEMBALI NORMAL, KATA PESAKIT

Apabila TODAY mengunjungi kedua-dua hospital itu pada petang Sabtu, para pesakit luar dan pelawat ke jabatan A&E berkata mereka perlu menunggu antara 30 minit sehingga sejam untuk giliran mereka dan ia bukan sesuatu perkara luar biasa.

Berdasarkan pengamatan TODAY, kakitangan A&E juga tidak memakai peralatan peribadi yang lengkap seperti mana dilakukan sewaktu beberapa bulan pertama pandemik berlaku.

Menjelang petang Sabtu, terdapat hanya segelintir orang yang berada di kedua-dua jabatan kecemasan dengan ada di antara mereka menemani pesakit yang mendapatkan rawatan. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan