'Sewa' baju, aksesori berjenama sempena Lebaran
Sudahkah anda membeli busana untuk digayakan pada Lebaran nanti? Bagi yang belum berkesempatan, mengapa tidak cuba menyewanya tahun ini?
SINGAPURA: Sudahkah anda membeli busana untuk digayakan pada Lebaran nanti? Bagi yang belum berkesempatan, mengapa tidak cuba menyewanya tahun ini?
Dengan semudah membuat tempahan dalam talian, anda boleh menyewa pakaian tradisional serta beg tangan berjenama untuk hari-hari istimewa.
Dari mengongsi rumah, kereta dan basikal, sedar atau tidak, ekonomi mengongsi atau 'sharing economy' sudah semakin sebati dengan kehidupan seharian kita. Siapa yang menyangka, ia dapat menembusi pasaran pakaian tradisional Melayu pula.
Dilancarkan tiga bulan lalu, The Fabrary menawarkan khidmat menyewa busana tradisional menerusi aplikasi Instagram. Dengan harga semurah S$40, anda boleh menyewa sepasang kurung selama 4 hari tanpa perlu risau tentang penghantaran atau pembersihannya.
Pemilik The Fabrary, Siti Arina Abu Bakar berkata: "Tujuan saya dengan The Fabrary adalah untuk menghidupkan kembali dan meningkatkan penggunaan baju-baju yang kalau tidak digunakan hanya dibiarkan dalam almari."
Namun, tidak lengkap penampilan tanpa aksesori. Bagi mereka yang berminat dengan beg tangan berjenama, Style Theory Bags mungkin menjadi pilihan.
Dilancarkan November tahun lalu, platform langganan fesyen tempatan itu memberi pengguna akses kepada lebih 1,000 rekaan beg berjenama pada harga S$129 sebulan. Bagi promosi Hari Rayanya, pelanggan baru diberi peluang 'melompat' senarai menunggu agar dapat menerima beg idaman sebelum menyambut Lebaran.
"Untuk pastikan kami memenuhi keperluan pelanggan Muslim, kami mewujudkan filter 'Sembunyikan Kulit Babi' jadi mereka tidak menyewa beg-beg yang dibuat dengan kulit babi, misalnya," kata Rakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Style Theory, Chris Halim.
Menurutnya lagi, Style Theory Bags adalah penyedia khidmat sewa beg berjenama yang terbesar di Asia Tenggara. Selain beg, Style Theory juga menawarkan khidmat pakaian sewa di Singapura dan Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.