Skip to main content

Iklan

Iklan

Sesetengah kondominum hadkan akses gim kepada penduduk sudah divaksinasi sahaja

Beberapa kondominium tidak membenarkan para penduduk yang belum divaksinasi untuk menggunakan kemudahan gim di tengah-tengah peraturan-peraturan berdasarkan status vaksinasi secara amnya bagi pelbagai situasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah kondominum hadkan akses gim kepada penduduk sudah divaksinasi sahaja

Gim kodominium Sim Urban Oasis. (Gambar: Smart Property Management)

Diterbitkan : 20 Aug 2021 08:12AM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 08:21AM

SINGAPURA: Beberapa kondominium tidak membenarkan para penduduk yang belum divaksinasi untuk menggunakan kemudahan gim di tengah-tengah peraturan-peraturan berdasarkan status vaksinasi secara amnya bagi pelbagai situasi.

Di sesetengah estet, akses ke gim dihentikan bagi semua penduduk. Untuk menggunakan gim, para penduduk mesti menunjukkan bukti status vaksinasi kepada para pengawal keselamatan untuk mendapatkan pas akses.

Langkah-langkah itu diambil menyusuli kenyataan nasihat daripada Sport Singapore (SportSG) baru-baru ini yang menyatakan bahawa kegiatan-kegiatan berisiko tinggi - yang ditakrifkan sebagai kegiatan-kegiatan yang dijalankan di tempat tertutup tanpa memakai pelitup - mesti dihadkan kepada lima orang, kesemuanya mesti sudah lengkap divaksinasi.

"Sekiranya salah seorang peserta belum lengkap divaksinasi, kegiatan sedemikian tidak dibenarkan," menurut makluman tersebut.

Salah sebuah kondomonium yang mengambil langkah sedemikian adalah Terrasse di Serangoon. Dalam satu pemberitahuan kepada penduduk, pihak pengurusan menyatakan sekatan berkenaan sejajar dengan kenyataan-kenyataan nasihat rasmi bagi "mengurangkan penularan COVID-19".

"Kami mohon anda faham dan memberikan kerjasama demi keselamatan dan kesihatan semua penduduk Terrassee," menurut pemberitahuan itu.

Beberapa kondominium yang lain melaksanakan peraturan-peraturan serupa seperti Kovan Melody di Kovan, The Panorama di Ang Mo Kio, Northpark Residences di Yishun, Boathouse Residences di Serangoon dan The Santorini di Tampines.

Di kondominium-kondominium lain seperti Sims Urban Oasis di Aljunied, pengawal keselamatan dikerahkan di luar gim untuk mengehadkan akses.

Notis pemberitahuan di luar gim bagi para penduduk yang mahu menggunakannya. (Gambar: Smart Property Management)

Seorang pengawal keselamatan mengesahkan status vaksinasi setiap individu sebelum mereka dibenarkan masuk. Jika tiada pengawal keselamatan, para penduduk mesti ke pondok pengawal keselamatan untuk mendapatkan pas, kata Encik John yang bekerja dengan syarikat yang menguruskan bangunan itu.

Beliau menambah bahawa sebilangan kondominum di bawah pengurusan syarikatnya pada mulanya menimbangkan untuk membenarkan penduduk yang belum dan sudah divaksinasi untuk menggunakan gim. Tetapi, ini bermakna para pengguna mesti memakai pelitup dan gim-gim tidak dibenarkan menyediakan peralatan, menurut peraturan-peraturan SportSG.

Jika kondominium tidak boleh melaksanakan langkah-langkah berdasarkan status vaksinasi, alternatifnya adalah menutup kemudahan-kemudahan tersebut.

Pokoknya, kebanyakan jawatankuasa kondominum memilih untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga.

PERATURAN MENYELURUH ELAK KEKELIRUAN

Dalam kenyataan nasihatnya, SportSG menyatakan sesetengah golongan boleh dikecualikan daripada peraturan berdasarkan status vaksinasi.

Pengecualian itu adalah bagi mereka yang memperoleh keputusan negatif ujian praacara yang sah daripada penyedia khidmat perubatan yang diluluskan dan dijalani pada tempoh tertentu atau para pesakit COVID-19 yang sudah pulih.

Namun, pasukan-pasukan pengurusan kondominum menyatakan bahawa mereka akan mengekalkan peraturan menyeluruh yang hanya membenarkan para penduduk yang lengkap divaksinasi untuk menggunakan gim kerana ia lebih mudah untuk dikuatkuasakan terutamanya dalam situasi tenaga kerja terhad.

Salah seorang penduduk Sims Urban Oasis bersetuju bahawa peraturan yang mudah difahami dapat mengelakkan "kekeliruan dan kepayahan menguatkuasakannya".

Seorang penduduk di The Panorama juga bersetuju bahawa "dalam sekitaran sekarang ini, ia tentunya lebih selamat bagi para individu untuk menggunakan gim selepas divaksinasi". Ini lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu tidak pasti tentang prosedur-prosedur pembasmian kuman, kata beliau.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan