Skip to main content

Sesetengah klinik swasta pertimbang import vaksin bukan mRNA; permintaan terus meningkat

Sekurang-kurangnya dua institusi jagaan kesihatan swasta sedang menimbangkan untuk membawa masuk lebih banyak vaksin, termasuk Sinovac dan Sinopharm dari China, ekoran permintaan yang melonjak bagi vaksin-vaksin bukan mRNA.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah klinik swasta pertimbang import vaksin bukan mRNA; permintaan terus meningkat

Orang ramai sedang menunggu suntikan vaksin di Pusat Thomson Wellth. (Gambar: Thomson Wellth Clinic)

Diterbitkan : 23 Jun 2021 08:18PM Dikemas Kini : 23 Jun 2021 10:23PM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua institusi jagaan kesihatan swasta sedang menimbangkan untuk membawa masuk lebih banyak vaksin, termasuk Sinovac dan Sinopharm dari China, ekoran permintaan yang melonjak bagi vaksin-vaksin bukan mRNA.

Pusat Pakar StarMed, yang diluluskan untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 Sinovac daripada bekalan pemerintah, memberitahu Mediacorp pada Rabu (23 Jun) bahawa ia sedang bekerjasama dengan sebuah lagi klinik untuk mengimport dos-dos Sinovac dan juga jenama-jenama vaksin lain seperti Sinopharm.

"Kami menyaksikan banyak permintaan untuk vaksin-vaksin yang diluluskan di bawah (Laluan Akses Khas) yang bukan berdasarkan mRNA dan buat masa ini, ia hanya untuk mencuba, untuk memahami sama ada ia boleh dilakukan dan apa cabaran-cabaran peraturan dan logistik dalam membawa masuk vaksin-vaksin ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Dr Louis Tan.

Satu lagi klinik yang turut diluluskan untuk memberikan suntikan vaksin Sinovac, tidak mahu mendedahkan namanya kerana bimbang akan menerima banyak pertanyaan.

Sekurang-kurangnya empat institusi jagaan kesihatan termasuk Pusat Pakar StarMed sudah mula memberikan suntikan vaksin itu.

Dr Tan berkata pusatnya kini melakukan sekitar 80 suntikan setiap hari dan sejauh ini sudahpun memberi suntikan kepada lebih 200 pesakit sejak ia menerima bekalan pertama Sinovac pada Jumaat (18 Jun) lalu. Bekalan kedua sebanyak 200 dos tiba pada Isnin (21 Jun).

Beliau menambah lebih 4,000 orang sudahpun membuat janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin di pusat itu, dengan tempahan sehingga hujung September.

Klinik Thomson Wellth yang juga menerima bekalan pertama vaksin Sinovac pada Jumaat lalu, ia sedang menguruskan tempahan janji temu lebih 1,500 individu yang melahirkan minat untuk mendapatkan vaksin Sinovac.

Klinik itu turut menyatakan ia boleh memberi sekitar 150 suntikan vaksin dalam sehari dan sudahpun memberikan suntikan vaksin kepada sekitar 400 orang sejauh ini.

MEMBUAT ADUAN KESAN SAMPINGAN

Klinik-klinik yang dihubungi Mediacorp juga menyatakan bahawa ia mempunyai protokol untuk mendokumentasi data berhubung vaksin Sinovac. Ini termasuk mengumpul data tentang kesan sampingan teruk vaksin itu.

Cik Serena Wee, ketua eksekutif Pusat Barah Icon Farrer Park, memberitahu Mediacorp bahawa ia menyediakan talian khas untuk para pesakit membuat aduan tentang sebarang kesan sampingan daripada vaksin itu.

Namun, sejauh ini, pusat tersebut hanya menerima satu panggilan daripada seorang pesakit yang mengalami gatal-gatal selepas mendapatkan suntikan vaksin, dedah Cik Wee sambil menambah kes itu sudahpun direkod dan dilaporkan kepada MOH.

Klinik Thomson Wellth dan Pusat Pakar StarMed juga memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak mendapati sebarang kesan teruk seperti anafilaksis sejauh ini.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita