Semua pusat mengundi ditutup secara rasmi jam 10.00 malam
Semua pusat mengundi ditutup secara rasmi jam 10.00 malam selepas masa mengundi dilanjutkan lagi dua jam.
SINGAPURA: Semua pusat mengundi ditutup secara rasmi jam 10.00 malam selepas masa mengundi dilanjutkan lagi dua jam.
Bagaimanapun pusat-pusat yang diwartakan untuk pengundi yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah atau SHN masih ditutup pada waktu asal 8.00 malam.
Mengumumkan keputusan itu, Jabatan Pilihan Raya menyatakan, meskipun keadaan di kebanyakan pusat mengundi sudah bertambah baik, barisan beratur di sejumlah pusat mengundi masih panjang.
Lebih 2.6 juta pengundi layak mengundi hari ini untuk memilih wakil mereka di parlimen, sekaligus satu barisan pemimpin untuk Singapura pada masa depan.
Setakat jam 8.00 malam, 2,565,000 orang atau 96 peratus pengundi berdaftar sudah melaksanakan tanggungjawab mereka. Jumlah itu lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum 2015 yang mencatat 2,304,331 undi atau 93.56 peratus pengundi apabila undi ditutup.
Pilihan raya umum ke-13 ini amat bersejarah kerana diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Ia juga yang paling pelbagai, dengan 11 parti politik dan seorang calon bebas bertanding di kesemua 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Secara keseluruhannya, 93 kerusi parlimen dipertaruhkan, tambahan empat kerusi berbanding pilihan raya lalu.
Langkah-langkah keselamatan dikuat kuasakan di kesemua 1,100 pusat mengundi.
Jumlah itu tambahan 220 pusat untuk mengurangkan keadaan sesak dan masa menunggu.
Orang ramai mula keluar mengundi sekitar 8:00 pagi.
Bagi memastikan proses mengundi berjalan dengan selamat, Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah mengadakan masa khas untuk pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Misalnya, golongan warga emas dikhaskan untuk mengundi pada waktu pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.