Skip to main content

Iklan

Iklan

Semua pelawat ke New South Wales, Victoria perlu jalani pengasingan kendiri 3 hari

Semua pelawat lengkap divaksin yang tiba di wilayah New South Wales dan Victoria, Australia, mesti menjalani pengasingan kendiri untuk sekurang-kurangnya 72 jam.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua pelawat ke New South Wales, Victoria perlu jalani pengasingan kendiri 3 hari

Wilayah-wilayah Sydney dan Melbourne di tengah-tengah penularan COVID-19. (Gambar: AFP dan AP/APP Image/Daniel Pockett)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 10:00PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 10:01PM

SINGAPURA: Semua pelawat lengkap divaksin yang tiba di wilayah New South Wales dan Victoria, Australia, mesti menjalani pengasingan kendiri untuk sekurang-kurangnya 72 jam.

Kedua-dua wilayah itu mengumumkan langkah baru tersebut pada Sabtu malam(27 Nov) di tengah-tengah kebimbangan berhubung varian baru COVID-19 Omicron.

“Dari pukul 12.00 tengah malam pada 28 November, semua pelawat lengkap divaksin yang tiba di NSW yang sudah berada di mana-mana negara lain mesti terus pergi ke tempat kediaman atau penginapan mereka dan lakukan ujian tindak balas rantaian polimeras COVID-19 (swab hidung dan tekak) serta menjalani pengasingan kendiri buat sekurang-kurangnya 72 jam," menurut Kementerian Kesihatan New South Wales dalam satu kenyataan media.

Ketua Menteri New South Wales Dominic Perrottet berkata langkah-langkah baru itu akan "memastikan orang ramai selamat".

“Pihak berkuasa di seluruh dunia masih menyiasat risiko yang dibawa oleh varian baru ini," tambah Encik Perrottet.

“Oleh demikian, Pemerintah NSW akan terus mengutamakan keselamatan masyarakat dengan mengambil langkah berjaga-jaga tetapi penting ini sehingga lebih banyak maklumat disediakan."

Jabatan Kesihatan wilayah Victoria menyatakan dalam Facebook bahawa mulai pukul 11.59 malam pada Sabtu, semua pelawat baru yang lengkap divaksin dan budak berusia bawah 12 tahun belum divaksin yang tiba di Victoria dari mana-mana negara lain mesti menjalani kuarantin di rumah selama 72 jam.

Pada Oktober, Singapura memperluaskan skim laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) kepada Australia. Perdana Menteri Australia Scott Morrison juga mengumumkan Australia akan membuka semula sempadannya dari 21 November kepada semua warga Singapura lengkap divaksin.

Pada awal Sabtu, Australia mengenakan sekatan baru terhadap penduduknya yang membuat perjalanan ke sembilan negara selatan Afrika.

Negara-negara itu adalah Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini, Seychelles, Malawi dan Mozambique.

Berkuat kuasa serta-merta, pemerintah akan melarang penumpang bukan rakyat yang sudah ke negara-negara tersebut daripada memasuki Australia. Sementara itu, warga Australia dan tanggungan mereka pula disyaratkan menjalani kuarantin yang dipantau selama 14 hari apabila pulang ke tanah air dari negara-negara berkenaan, kata Menteri Kesihatan Greg Hunt.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan