Skip to main content

Iklan

Iklan

Sebilangan rakyat Singapura ambil pendekatan 'tunggu & lihat' sebelum ke seberang tambak

Sebilangan rakyat Singapura ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sebelum rancang ke seberang tambak. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah hampir setahun, Zaini Mohd tidak bertemu isteri dan tiga anaknya yang menetap di Johor.

Sebelum ini, Encik Zaini menetap di Johor bersama isterinya, seorang rakyat Malaysia bersama lima anaknya dan sering ulang-alik ke Singapura sehingga empat kali seminggu atas urusan kerja.

Maka itu beliau yang kini berada di Singapura bersama dua lagi anaknya yang sedang menjalani perkhidmatan negara sangat mengalu-alukan pengumuman pembukaan VTL bagi Singapura-Kuala Lumpur dan tidak lama lagi laluan darat pula.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan pengumuman itu. Bukan saya sahaja malahan saya percaya rakyat Singapura dan rakyat Malaysia menyambut baik pengumuman ini. Bukan setakat memudahkan keluar masuk, boleh jumpa, tapi kita dapat berkeluarga kembali," kata Encik Zaini.

Berita itu juga disambut baik Md Isa Kamsani yang sebelum ini memandu masuk Johor setiap hujung minggu untuk menguruskan ladang kelapa sawitnya di Batu Pahat.

"Kalau sudah buka terutama sekali saya akan naik pergi makan dulu, isi minyak kereta, itu yang pertama. Kedua terus ke kampung, tengok ladang kelapa sawit saya,ziarah saudara mara saya, bersihkan rumah saya," jelas Encik Isa.

Mujur selama ketiadaannya, saudara-maranya di Batu Pahat membantu menguruskan ladang kelapa sawitnya.

Malah Encik Isa, seorang pesara juga berhasrat untuk menetap lebih lama di rumahnya di Johor dan tidak ulang-alik secara kerap apabila laluan darat Singapura-Malaysia seperti skim VTL dibuka kelak.

PERTIMBANG PROTOKOL YANG BAKAL DILAKSANAKAN SEBELUM KE SEBERANG TAMBAK

Namun beliau tidak tergesa-gesa untuk pulang kerana sedang mempertimbangkan beberapa perkara antaranya kesesakan di Koswe yang lebih teruk serta kos ujian PCR yang mungkin dikenakan.

"Saya rasa cubaan kita yang paling teruk nanti kesesakan. Kedua pemeriksaan kastam atau imigresen sana pun saya rasa ada kelewatan juga, begitu juga di Singapura. Kalau nak buat PCR saya tak setuju. Saya tak akan buat sebabnya kalau dua tahun kita boleh menunggu, takkan kita tak boleh tunggu beberapa minggu atau bulan lagi," katanya lagi.

Bagi Encik Zaini pula, walaupun bersedia mengeluarkan kos bagi melakukan ujian PCR untuk ke seberang tambak kerana sangat merindukan keluarganya, beliau mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" agar lebih jelas dan faham tentang perincian mengenai protokol laluan darat VTL Singapura-Malaysia.

"Sebab pengumuman sejauh ini belum jelas lagi seperti peraturan-peraturan SOP, kena mohon keluar masuk ke tidak, ada kuarantin ke tidak, adakah ini dibuka seperti dulu atau tetapi dengan bersyarat. Belum jelas lagi jadi kita harapkan penjelasan yang lebih lanjut daripada kedua-dua pihak Singapura dan Malaysia, kita harapkan secepat mungkin," kata Encik Zaini.

Walaupun tidak sabar bertemu sanak-saudara di seberang tambak, Encik Zaini dan Encik Isa menjangkakan keadaan serta proses keluar masuk Singapura-Malaysia akan mengambil masa untuk kembali normal seperti sebelum pandemik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan