'Sebahagian besar' kes COVID-19 dalam kelompok baru CGH libatkan pekerja sumber luar
"Sebahagian besar" kes dalam kelompok baru COVID-19 di Hospital Besar Changi (CGH) adalah pekerja dari rakan sumber luar yang tidak berinteraksi secara langsung dengan pesakit, menurut hospital itu pada Sabtu (4 Sep).
SINGAPURA: "Sebahagian besar" kes dalam kelompok baru COVID-19 di Hospital Besar Changi (CGH) adalah pekerja dari rakan sumber luar yang tidak berinteraksi secara langsung dengan pesakit, menurut hospital itu pada Sabtu (4 Sep).
Kelompok baru itu dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat dan mempunyai 14 kes setakat semalam. Ia adalah kelompok aktif kedua di hospital itu dengan kelompok awal dikenal pasti pada 3 Ogos.
Kelompok baru itu adalah kelompok ketiga yang melibatkan hospital di sini sejak Jun. Kelompok pertama, yang dikenal pasti pada 25 Jun, sudahpun bebas daripada COVID-19 pada 31 Julai.
"Kes-kes ini (dalam kelompok baru) tiada hubung kait dengan kelompok awal," menurut hospital itu dalam kenyataan medianya.
CGH menyatakan kes-kes dalam kelompok baru itu dikesan melalui ujian proaktif pihak hospital.
"Anggota kakitangan ini ada tempat kerja mereka sendiri di aras besmen hospital dan tidak berinteraksi secara langsung dengan pesakit dalam tugasan mereka," menurutnya.
"Hampir semua lengkap divaksin dan semua mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat. Tiada seorang daripada mereka sakit teruk, kemungkinan besar kerana vaksinasi mereka."
CGH menyatakan ia menjalankan pengesanan dan ujian secara aktif untuk membendung jangkitan. Ujian swab hampir selesai bagi kakitangan yang bekerja di aras besmen.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua kakitangan CGH termasuk rakan perkhidmatan sumber luar akan menjalani ujian pantas antigen sekali sahaja yang dilakukan sendiri, menurut hospital itu. Ini di samping rejim ujian rutin berjadual bagi "kakitangan berhadapan dengan pesakit".
Siasatan epidemiologi sedang dijalankan bagi kes-kes positif. Para pekerja dikenal pasti sebagai kontak rapat sudahpun dikenakan perintah kuarantin atau cuti ketidakhadiran (LOA) sementara menunggu hasil siasatan, tambah CGH.
HOSPITAL "SELAMAT UNTUK PENZIARAHAN"
CGH "kekal selamat untuk penziarahan", tambah hospital itu.
"Kawasan klinikal tidak terjejas dan hospital kekal selamat untuk janji temu klinikal serta penziarahan ke wad dengan pematuhan garis panduan penziarahan sedia ada," menurutnya.
Penziarahan ke semua hospital dibenarkan semula sejak 19 Ogos menyusuli penggantungan selama dua minggu selepas lebih banyak kes jangkitan dikesan dalam masyarakat, termasuk dalam kalangan anggota kakitangan hospital serta pesakit.
Penziarah mesti divaksin atau boleh menunjukkan hasil ujian negatif COVID-19 yang sah. Pesakit wad am boleh membuat pendaftaran awal sehingga dua penziarah sepanjang tempoh kemasukan mereka. Mereka boleh menerima dua penziarahan setiap hari dengan satu penziarah di dalam wad pada satu-satu masa selama sehingga 30 minit.
CGH menyatakan langkah berjaga-jaga seperti pembersihan dan pembasmian kuman rapi di kawasan relevan sudahpun selesai dijalankan.Selain itu, protokol kawalan jangkitan juga dilaksanakan di kampus hospital itu.
CGH menyatakan ia akan terus menyokong dan memberi penjagaan kepada para pekerja yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.