SDP pulang tangan kosong; sokongan undi naik
Parti Demokratik Singapura (SDP) sekali lagi pulang dengan tangan kosong pada Pilihan Raya Umum Singapura ke-13 semalam (10 Jul)setelah kalah dalam kesemua lima kawasan undi yang ditandinginya.
(Gambar: Janice Lim/TODAY)
SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) sekali lagi pulang dengan tangan kosong pada Pilihan Raya Umum Singapura ke-13 semalam (10 Jul)setelah kalah dalam kesemua lima kawasan undi yang ditandinginya.
Bagaimanapun menurut penganalisis, sokongan undi yang dicatatkan di dua kawasan undi perseorangan memberi isyarat bahawa ia bukan calang-calang parti.
Prestasi SDP khususnya di Kawasan Undi Perseorangan Bukit Panjang (SMC), yang mana pengerusi SDP Paul Tambyah, mendapat 46.26 peratus undi - adalah yang tertinggi diperolehi parti itu berbanding semua kawasan undi yang ditandinginya.
Ia juga peratusan undi tertinggi diraih seorang calon pembangkang berbanding calon-calon pembangkang lain di semua SMC setelah keputusan pilihan raya diumumkan pada awal Sabtu (11 Julai).
Meski kalah, peratusan undi SDP di Bukit Panjang melonjak hampir 15 peratus berbanding pilihan raya 2015, apabila calonnya ketika itu Khung Wai Yeen mengumpul 31.62 peratus undi.
Dr Tambyah, 55, kalah kepada Encik Liang Eng Hwa, 56, dari Parti Tindakan Rakyat (PAP). Encik Liang adalah Anggota Parlimen (AP) di GRC Holland-Bukit Timah selama 14 tahun sebelum berpindah untuk mengisi kerusi di Bukit Panjang setelah ahli parlimennya, Dr Teo Ho Pin, bersara dari politik.
Dalam pada itu Ketua SDP Chee Soon Juan, 57, juga menikmati peningkatan 6.4 peratus undi di SMC Bukit Batok, di mana beliau menentang Encik Murali Pillai dari PAP. Dr Chee mendapat 45.2 peratus undi, naik daripada 38.77 peratus yang diperolehinya pada pilihan raya kecil 2016, bersaing dengan lawan yang sama.
Secara keseluruuhannya, SDP mengumpul 4.45 peratus undi popular, naik daripada 3.76 peratus pada pilihan raya 2015.
Pasukan SDP di GRC Holland-Bukit Timah, terdiri daripada Encik Alfred Tan, 54, Dr James Gomez, 55, Cik Min Cheong, 35, dan Encik Tan Jee Say, 66, menerima 33.64 peratus undi.
Mereka menentang pasukan PAP yang termasuk Dr Vivian Balakrishnam, 59, Cik Sim Ann, 45, Encik Christopher De Souza, 44, dan Encik Edward Chia, 36.
GRC itu juga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara kedua-dua parti yang sama pada pilihan raya 2015, dengan SDP meraih 33.38 peratus undi.
SDP juga tewas di GRC Marsiling-Yew Tee , meraih 36.82 peratus undi tahun ini, lebih tinggi berbanding 31.27 peratus undi pada pilihan raya 2015.
Pasukan kali ini terdiri daripada Encik Bryan Lim Boon Heng, 43, Encik Damanhuri Abas, 49, Encik Khung Wai Yeen, 38, dan Encik Benjamin Pwee, 52.
Mereka sekali lagi tumpas kepada pasukan PAP dipimpin oleh Encik Lawrence Wong, 47, yang juga bertanding pada 2015.
Bagi SMC Yuhua pula, Encik Robin Low, 44, kecundang di tangan penyandang PAP, Cik Grace Fu, 56, dengan hanya memperoleh 29.46 peratus undi. Namun jumlah itu lebih tinggi berbanding 26.46 peratus undi yang diraihnya pada 2015.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.