Skip to main content

Iklan

Iklan

'Saya tidak menyesal': Segelintir rakyat S'pura masih ke luar negara meski tidak digalak

 Pada Selasa lalu (17 Mac) seramai 19 rakyat Singapura melakukan perjalanan ke Mersing untuk menaiki sebuah bot ke Pulau Tioman.

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya tidak menyesal': Segelintir rakyat S'pura masih ke luar negara meski tidak digalak

(Gambar fail: Today)

Diterbitkan : 25 Mar 2020 11:20AM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 11:27AM

SINGAPURA: Pada Selasa lalu (17 Mac) seramai 19 rakyat Singapura melakukan perjalanan ke Mersing untuk menaiki sebuah bot ke Pulau Tioman.

Linkungan usia 19 ahli keluarga itu adalah antara empat hingga 54 tahun. Mereka bergegas ke Malaysia sebelum negara itu menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac.

"Kami risau tidak dapat berjumpa dengan saudara mara kami dalam masa beberapa bulan akan datang kerana Malaysia mungkin akan melanjutkan perintah kawalan pergerakan itu, menurut Encik Syaheat, 29 tahun.

Meskipun Encik Syaheat mengetahui tentang perintah kawalan pergerakan itu, beliau bertegas bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh pemerintah Singapura yang menasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara yang tidak penting mulai 16 Mac bagi tempoh selama 30 hari.

Kementerian Kesihatan (MOH) kemudian memperluaskan nasihat perjalanan yang memberi amaran kepada rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke luar negara mulai 18 Mac.

"Saya tidak tahu mengenai (nasihat perjalanan), kata Encik Syaheat, seorang pelajar sepenuh masa, sambil menambah bahawa beliau tidak bimbang jika dijangkiti virus itu di Tioman kerana tiada kes dilaporkan di sana.

Menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Selasa (24 Mac) di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian, meskipun Pemerintah sudah mengeluarkan nasihat perjalanan, sekitar 1,000 penduduk Singapura dan pemegang pas jangka panjang masih ke luar negara. Ini berdasarkan data yang diperolehi daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

Bagi menggalak rakyat Singapura dan pemegang pas jangka panjang supaya menggugurkan hasrat untuk melakukan perjalanan ke luar negara, sesiapa yang meninggalkan Singapura mulai Jumaat (27 Mac) akan dikenakan kadar tanpa subsidi jika mereka perlu dirawat di hospital awam sekiranya diuji positif COVID-19.

Meskipun pihak pemerintah sudah memberi amaran kepada rakyat Singapura supaya jangan ke luar negara, mereka yang ditemui Mediacorp berkata bahawa mereka perlu ke luar negara atas urusan kerja atau tidak mahu membazirkan wang yang sudah dibelanjakan untuk lawatan itu.

Identiti mereka tidak didedahkan kerana pemerintah menyatakan pada 22 Mac bahawa sesiapa saja yang masih melakukan lawatan ke luar negara meskipun nasihat perjalanan sudah dikeluarkan, mungkin menanggung padahnya.

Menurut Encik Syaheat, kebanyakan ahli keluarganya yang bersekolah atau bekerja sudah diberi Cuti Ketidakhadiran (LOA) selama 14 hari.

Kawan-kawannya juga bimbang tentang kesihatannya kerana beliau melakukan perjalanan ke Malaysia.

Keluarganya hanya merancang untuk berada di sana bagi tempoh yang singkat tetapi mereka mengalami kesulitan dalam perjalanan pulang ke Singapura.

Mereka akhirnya menaiki feri pada 20 Mac setelah khidmat feri beroperasi semula dan para pelancong dinasihati supaya meninggalkan pulau itu pada hujung minggu. Mereka tiba di Singapura pada pukul 10.30 malam pada hari yang sama.

Menurutnya lagi, beliau tidak mempunyai rancangan untuk ke luar negara dalam masa terdekat ini.

"Tetapi jika keadaan COVID-19 bertambah baik kelak, kami akan menyambung semula rancangan percutian kami," katanya sambil menambah bahawa mereka hanya akan melancong sebaik sahaja nasihat perjalanan pemerintah ditarik balik.

Seorang lagi yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu Mediacorp bahawa beliau melakukan perjalanan ke sebuah negara Asia Selatan atas tujuan riadah kerana beliau berpendapat keadaan di sana tidak seburuk seperti di Singapura.

Beliau juga menambah bahawa beliau tidak mahu membazirkan wang yang sudah dibelanjakan bagi percutian itu dan memutuskan untuk meneruskannya. Beliau dan keluarganya meninggalkan Singapura pada 16 Mac dan pulang ke tanah air pada 20 Mac.

Mereka juga sudah diberikan Notis Jangan Keluar Rumah selama 14 hari.

"Saya tidak menyesal ke sana. Sama ada saya atau keluarga saya dijangkiti virus itu, saya serahkan kepada Tuhan," katanya.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan