Skip to main content

Iklan

Iklan

Sambut Aidildha penuh waspada kerana COVID-19 'masih berlingkaran', nasihat Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa masyarakat Islam setempat yang akan menyambut Aidiladha pada Selasa (20 Jul) supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat kerana COVID-19 "masih berlingkaran".

Anggaran Waktu Membaca:
Sambut Aidildha penuh waspada kerana COVID-19 'masih berlingkaran', nasihat Masagos

Para jemaah menunaikan solat Aidiladha di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. (Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 16 Jul 2021 11:35PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 11:39PM

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa masyarakat Islam setempat yang akan menyambut Aidiladha pada Selasa (20 Jul) supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat kerana COVID-19 "masih berlingkaran".

Ini lebih-lebih lagi sedang Singapura terus berusaha membendung penularan COVID-19 selepas muncul kelompok KTV, dengan 120 kes setakat Jumaat (16 Jul) - iaitu hanya empat hari selepas Kementerian Kesihatan (MOH) pertama kali mengumumkan kelompok tersebut.

Menerusi catatan di laman Facebooknya pada Jumaat (16 Jul), Encik Masagos juga memohon agar mereka yang akan menunaikan solat Aidiladha kelak dan juga solat Jumaat yang akan datang, melakukannya menerusi cara yang betul - iaitu membuat pendaftaran bagi ruang solat secara online, gunakan TraceTogether dan ikuti langkah-langkah pengurusan selamat (SMM).

Ini penting agar tidak "mengakibatkan penutupan masjid dari pihak Pemerintah kerana gagal menguatkuasakan peraturan jarak selamat", kata Encik Masagos.

"Kerana kita mematuhi peraturan SMM, masjid-masjid kita telah dibenarkan membuka lebih banyak ruang solat dalam Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat). Kini lebih 18,000 jemaah telah berjaya menempah slot bagi solat Hari Raya Haji di 66 masjid kita minggu depan.

"Saya memohon agar para jemaah tidak mengerjakan solat di luar zon selamat yang ditetapkan di masjid pada Selasa depan dan juga bagi solat Jumaat setiap minggu kerana seseorang mungkin sedang menyebarkan virus COVID-19 tanpa disedari dan pihak masjid boleh didakwa dengan tuduhan tidak menguatkuasakan peraturan SMM," ujar beliau.

Dalam pada itu, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga meluahkan kesyukuran atas sifat sabar dan kecekalan masyarakat Islam untuk bersatu hati dalam mematuhi SMM.

Beliau menasihatkan masyarakat Islam agar sentiasa meneruskan usaha mereka itu untuk membantu mengekang penularan koronavirus dan memastikan jangkitan dalam masyarakat kembali rendah, terutama apabila mereka menyambut Hari Raya Haji dalam masa beberapa hari lagi.

Encik Masagos menambah bahawa beliau "amat faham" keinginan masyarakat Islam setempat untuk kembali ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah seperti sediakala.

Namun, beliau merayu agar selalu mereka terus bersabar dan bekerjasama dengan Pemerintah "sambil kita membuka lebih banyak ruang secara beransur-ansur sejajar dengan kadar vaksinasi Singapura".

"Ayuh kita terus mematuhi langkah-langkah keselamatan agar masjid-masjid kita dapat terus beroperasi dengan selamat.

Memberikan pandangannya tentang kelompok-kelompok baru sejak beberapa hari lalu, Encik Masagos menekankan bahawa ini membuktikan pandemik COVID-19 ternyata "masih berlingkaran".

"Kes-kes tersebut telah menyebabkan penutupan sementara sebuah pusat penjaja dan pelayaran sebuah kapal percutian dibatalkan.

"Kelakuan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak ini dan kelompok baru di Rowell Road merupakan peringatan jelas kepada kita bahawa wabak COVID-19 masih berlingkaran," ujar Encik Masagos.

Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tingkah laku sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang secara terang-terangan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat (SMM).

"Oleh itu, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian terpaksa mengambil langkah-langkah yang lebih ketat sekarang serta menggantung operasi semua cawangan makanan dan minuman (F&B) yang serupa sehingga akhir Julai," katanya.

"Marilah kita terus bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan keselamatan masyarakat dan negara," tambah beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan