Skip to main content

Salon Pearlista sudah terima sehingga 40% tempahan sempena pembukaan semula esok

Bermula esok (12 Mei), sebilangan peniaga boleh menyambung semula perniagaan mereka, apabila peraturan 'circuit breaker' dilonggarkan sedikit.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bermula esok (12 Mei), sebilangan peniaga boleh menyambung semula perniagaan mereka, apabila peraturan 'circuit breaker' dilonggarkan sedikit.

Ini termasuklah salon-salon rambut yang sebelum ini terpaksa ditutup demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Salah satu yang akan dibuka esok adalah tiga cawangan salon wanita, Pearlista, milik usahawan Cik Nurshikin Jasni atau lebih dikenali sebagai Nura J.

Setelah terpaksa ditutup selama 20 hari, Cik Nura amat lega pintu di ketiga-tiga cawangan - iaitu di Eunos, Clementi dan Orchard Road - akan dibuka semula untuk menerima kedatangan pelanggan.

Bagi Cik Nura, peluang untuk menyambung semula perniagaannya dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini, sesuatu yang dipandang serius.

Sebagai persediaan, Cik Nura mendapatkan khidmat pembasmian kuman berskala besar dari sebuah syarikat pembersihan, iaitu 4Riz Services, untuk salon-salonnya.

"Di sini kita tak ada kelengkapan untuk melakukannya jadi sebab itu saya dapatkan khidmat daripada syarikat pembersihan.

"Seterusnya ialah tanggungjawab kakitangan Pearlista untuk teruskan pembersihan. Contohnya mereka akan lap permukaan apabila setiap pelanggan sudah selesai gunting, cuci dan keringkan rambut," kata Cik Nura.

Meskipun dibenarkan kembali beroperasi, salon-salon seperti Pearlista hanya boleh menawarkan khidmat asas sahaja iaitu gunting, cuci dan keringkan rambut.

"Berbeza dengan khidmat yang kita boleh tawarkan pada waktu dulu, sebelum COVID-19. Kalau dulu kita boleh warnakan rambut, kita boleh khidmat rawatan kulit kepala dan rambut," kata Cik Nura.

Salon Pearlista siap sedia buka semula pintu untuk pelanggan. (Gambar: Nura J)

Khidmat itu pula tidak boleh melebihi satu jam bagi setiap pelanggan.

Selain itu, disebabkan langkah jarak selamat, setiap salon Pearlista hanya boleh memuatkan empat orang dalam satu-satu masa - dua kakitangan dan dua pelanggan.

Yang pasti, salonnya kini perlu beroperasi dengan 'norma baru' buat jangka masa yang lama.

"Kita harus mempraktikkan jarak selamat kan dalam salon, jadi salon tidak boleh meriahlah. Sebelum COVID-19 salon kita boleh penuh macam empat kerusi penuh tapi dengan Covid-19 ini maksimum dua atau tiga. Itu sahaja kerana dengan adanya jarak selamat satu meter di dalam salon," tambah Cik Nura yang mempunyai 15 kakitangan kesemuanya.

Mujur bagi Pearlista, belum pun dibuka, tempahan pelanggan di cawangan-cawangannya melonjak sehingga 40 peratus lebih banyak, berbanding tempoh sebelum 'circuit-breaker'.

"Jadi bersyukur sangat-sangat. Sebab sebelum 'circuit-breaker' dan apabila COVID-19 ini membuat orang takut untuk keluar kan, tempahan bagi khidmat salon dandanan rambut tidak begitu memberangsangkan," ujar Cik Nura.

Beliau mengaku berasa bimbang ketika itu, kerana pendapatan perniagaannya merosot "mendadak" sehingga 70 peratus.

Kini beliau berharap dapat mengurangkan kerugian.

"Bohonglah saya kalau saya kata kita tidak terjejas. Saya rasa bimbang tapi bukan saya berseorangan. Ada syarikat-syarikat lain juga berdepan dengan masalah yang sama.

"Di sini saya amat bersyukur dengan bantuan pemerintah dan juga rebat sewa tuan tanah (landlord punya rental rebate). Jadi Pearlista akan cuba sedaya upaya untuk mengharungi cabaran ini," kata beliau dengan nada positif.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita