Skip to main content

Iklan

Iklan

#SalamMufti, #SalamSiku tarik perhatian dunia bagi galak cegah COVID-19

'Salam siku' atau 'elbow bump' kembali menjadi cara bersalaman popular dalam kalangan para pemimpin politik dan penduduk dunia di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19, yang kini diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu pandemik (wabak) pada Rabu (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
#SalamMufti, #SalamSiku tarik perhatian dunia bagi galak cegah COVID-19

Perdana Menteri M'sia Muhyiddin Yassin, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam S'pura Masagos Zulkifli dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: Dr Noor Hisham Abdullah/Twitter, Masagos Zulkifli/Facebook, Turkish Presidency/Twitter)

SINGAPURA: 'Salam siku' atau 'elbow bump' kembali menjadi cara bersalaman popular dalam kalangan para pemimpin politik dan penduduk dunia di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19, yang kini diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu pandemik (wabak) pada Rabu (11 Mac).

Bersentuhan seperti berjabat tangan semasa bertemu dengan orang lain sudah sekian lama diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di merata dunia. Namun, COVID-19 kini mengubah cara kita menyapa antara satu sama lain.

Cara bersalaman itu menjadi ikut-ikutan selepas Menteri Dalam Negeri Jerman Horst Seehofer enggan berjabat tangan dengan Canselor negara itu, Angela Merkel, semasa satu mesyuarat pada Isnin (2 Mac). Tindakan itu mungkin kelihatan tidak sopan, namun Cik Merkel sebaliknya tersenyum sambil berkata: "Itulah perkara betul yang seharusnya dilakukan."

Di Itali pula, Menteri Kesihatan Olivier Veran menasihati orang ramai supaya jangan berpeluk apabila bertemu satu sama lain sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Ini sedang jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara itu terus meningkat dengan mendadak, melonjak kepada hampir 12,500 orang pada Rabu (12 Mac).

'SALAM SIKU' CARA MENYAPA YANG SELAMAT

Pengarah Pandemik WHO, Dr Sylvie Brand, menyokong pelbagai cara bersalaman sebagai alternatif kepada berjabat tangan, termasuk 'salam siku'.

Mantan pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Tom Frieden, turut menggalak cara bersalaman seperti itu sambil menyifatkannya sebagai 'menyeronokkan'.

"Kajian mendapati bahawa kita membawa 3,200 bakteria daripada 150 jenis spesies berbeza pada tangan kita dan secara purata kita akan bersalaman sebanyak 15,000 kali seumur hidup," kata Pengarah Pendidikan Perubatan di Anglia Ruskin University di United Kingdom, Nicky Milner, kepada akhbar Guardian.

SALAM SIKU BUKAN AMALAN BARU

'Salam siku' bagaimanapun bukan cara menyapa yang baru.

Ia mula diamalkan semasa berlaku wabak demam selesema burung pada 2006, wabak flu babi pada 2009 dan wabak Ebola pada 2014 bagi mengurangkan kesan penularan virus.

VIRUS KORONA MENGUBAH INTERAKSI SOSIAL

Virus COVID-19 sudah tentu mengubah interaksi sosial, sama ada di negara-negara Barat mahupun di negara-negara lain.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan merupakan salah seorang pemimpin yang amat menitikberatkan amalan bagi mencegah penularan virus itu.

Anadolu Agency melaporkan bahawa semasa lawatannya ke Brussel di ibu kota Belgium, Presiden Erdogan memberikan salam kepada orang-orang yang menyambutnya dengan hanya meletakkan telapak tangannya di dada tanpa berjabat tangan.

Presiden Erdogan juga dilaporkan enggan berjabat tangan dengan sejumlah tokoh semasa berada di Istanbul.

Malah di akhir satu persidangan dengan Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg di Brussels, kedua-dua pemimpin itu tidak berjabat tangan.

Menurut laporan Anadolu Agency, Presiden Erdogan mengangkat tangannya ke dada dan menyebut 'Korona' dengan nada suara yang rendah. Encik Stoltenberg memberi respons dengan meniru gerakan beliau, dengan mengangkat tangan ke dadanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memperkenalkan amalan tanda hormat bagi mencegah jangkitan virus COVID-19 selain berjabat tangan, sedang bilangan kes jangkitan di negara itu juga semakin bertambah.

Selain mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, orang ramai juga dinasihati supaya mengelak daripara berhubung rapat dengan individu yang menunjukkan gejala jangkitan virus tersebut, lapor akhbar Mstar.

“Letakkan tangan kanan di dada kiri sebagai tanda hormat dengan ucapan salam, menggantikan bersalaman dan bersentuhan,” tulis Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi akaun Twitternya.

(Gambar Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin. Gambar: Dr Noor Hisham Abdullah/Twitter)

Beliau turut memuat naik gambar Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, yang melakukan amalan itu dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri sebagai tanda hormat.

Dr Noor Hisham turut ditukil sebagai berkata amalan itu juga merupakan lambang logo budaya KKM iaitu "Kami sedia membantu".

UMAT ISLAM S'PURA DIGESA AMALKAN #SALAMMUFTI

Cara bersalaman yang serupa turut diamalkan di Singapura, dengan masyarakat Melayu/Islam digesa supaya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat demi mencegah penularan COVID-19.

Ia turut diamalkan oleh sebilangan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam semasa mereka melakukan kunjungan ke Marsiling baru-baru ini.

(Gambar Encik Zaqy Mohamad, Encik Masagos dan ProfesorMadya Muhammad Faishal Ibrahim bersama para penduduk Marsiling. Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook) 

"Saya menggelarkannya sebagai 'SalamMufti' setelah Mufti kita mengeluarkan bimbingan bagi mencegah penularan COVID-19," tulis Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di laman Instagramnya, sambil merujuk kepada mantan Mufti Negara Ustaz Dr Fatris Bakaram.

"Semua orang tahu apa yang saya katakan. Ia mudah dan menarik! Marilah sama-sama mengamalkan #SalamMufti," katanya lagi.

Dalam sesi Jalan-Jalan Sembang di Marsiling itu, Encik Masagos dan para AP lain turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan isu-isu berkaitan Belanjawan 2020 serta pelbagai inisiatif untuk membentuk sebuah masyarakat Melayu/Islam yang gemilang.

"Kita juga bangga dengan usaha masyarakat dalam mencegah dan membendung penularan virus Covid-19," tambah beliau lagi.

Awal bulan lalu, Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, turut meluahkan rasa besar hati beliau apabila melihat penduduk tempatan mengamalkan langkah berjaga-jaga dalam usaha membendung penularan virus tersebut.

Seperti para jemaah, Menteri Masagos juga membawa sejadahnya sendiri untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Angullia pada 14 Feb 2020. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Khususnya, semasa kunjungan Encik Masagos ke Masjid Angullia untuk merasmikan pembukaan semula masjid itu, beliau melihat ramai jemaah membawa sejadah mereka sendiri dan memberi salam antara satu sama lain secara mesra sekalipun tidak berjabat tangan tetapi dengan setakat meletakkan tangan di hati.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan