Skip to main content

Iklan

Iklan

Salah maklumat tentang COVID-19 cetus kebencian terhadap Muslim di India

Jiran-jiran beragama Hindu Gayur Hassan membaling batu ke arah rumah keluarganya di sebuah kampung utara India pada tengah malam dan membakar bengkelnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Salah maklumat tentang COVID-19 cetus kebencian terhadap Muslim di India

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Sajjad HUSSAIN)

Diterbitkan : 07 May 2020 12:22AM Dikemas Kini : 07 May 2020 12:43AM

NEW DELHI: Jiran-jiran beragama Hindu Gayur Hassan membaling batu ke arah rumah keluarganya di sebuah kampung utara India pada tengah malam dan membakar bengkelnya. Semuanya dilakukan semata-mata kerana anaknya memberi "tanda suka" pada satu catatan media sosial.

Kiriman di laman Facebook yang disokong oleh anak lelaki Encik Hassan berusia 19 tahun itu mengecam gerakan menyasarkan minoriti Muslim India sejak negara dengan 1.3 bilion penduduk itu melaksanakan sekatan pergerakan COVID-19 pada hujung Mac.

Menurut polis yang menahan dua lelaki, keluarga Encik Hassan diancam hukuman lanjut kecuali mereka mencukur janggut dan berhenti memakai kopiah.

"Nenek moyang saya tinggal di sini dan saya dilahirkan di sini," kata Encik Hassan, 55, kepada AFP melalui telefon dari Keorak, kampung mereka di mana lebih sepuluh keluarga Muslim tinggal di kalangan sekitar 150 keluarga penganut Hindu.

"Kami hidup seperti keluarga dan agama tidak pernah menjadi masalah di sini," kata beliau. Namun sekarang ada "suasana ketakutan dan kebencian di mana-mana".

Serangan ke atas keluarga Encik Hassan adalah kejadian malang terbaru berikutan banyak salah maklumat berhubung virus korona yang mengapi-apikan permusuhan terhadap penduduk Muslim di India.

Golongan nasionalis Hindu menggunakan COVID-19 untuk mengapi-apikan kebencian terhadap golongan Muslim, dengan menggunakan wadah online dan beberapa media arus utama untuk menuduh mereka menyebarkan penyakit ini.

Para pengkritik berkata Perdana Menteri Narendra Modi adalah sebahagian daripada puncanya. Mereka menuduh beliau berusaha untuk menjadikan India sebagai negara Hindu, dengan menjejaskan asas sekular dan pemajmuk demokrasi terbesar di dunia itu.

#CORONAJIHAD

Sejak dua bulan lalu, pasukan periksa fakta AFP telah menyangkal ratusan catatan media sosial yang secara palsu menyasarkan Muslim berhubung pandemik COVID-19 di India.

Dalam satu catatan yang ditangkis AFP, sebuah gambar dikongsi di Facebook dan Twitter dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan Muslim warga India melanggar peraturan jarak sosial dengan bersembahyang di atas bumbung.

Hakikatnya, gambar itu menunjukkan orang bersembahyang di Dubai.

Ratusan ribu catatan online juga menggunakan tanda pagar #CoronaJihad, dengan sebahagiannya dikongsi oleh para anggota parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Encik Modi.

Surat khabar dan saluran televisyen - serta pemerintah - juga dituduh mencetuskan ketegangan, dengan ada pembaca berita yang menyifatkan anggota Tabligi Jamaat sebagai "bom manusia".

AKIBAT PADA DUNIA NYATA

Seperti mana penyebaran salah maklumat menjadi-jadi, begitu juga dengan keganasan dan kemarahan terhadap penduduk Muslim.

Di merata negara, pemandu lori dan nomad Muslim diserang, dan penjual Muslim ditolak dan diancam.

Permusuhan itu juga wujud dalam bentuk lain seperti poster "Tiada Muslim Dibenarkan" muncul di beberapa kampung.

Sebuah hospital menyatakan Muslim tidak dibenarkan masuk tanpa sijil yang mengesahkan bahawa mereka bebas COVID-19.

200 juta umat Islam India sudah lama mengadu tentang ketegangan yang semakin meningkat di bawah kepimpinan Encik Modi, yang memegang kuasa sejak hampir enam tahun yang lalu.

"PENYATUAN, PERSAUDARAAN"

Para aktivis berkata bahawa sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan perhatian media tertumpu kepada pandemik, polis telah mempergiat penangkapan berkaitan pergolakan itu, kebanyakannya Muslim dan sebahagiannya di bawah undang-undang anti-pengganasan.

"Mereka ingin memastikan tidak ada sesiapa yang akan bersuara untuk masyarakat itu setelah pandemik ini berakhir," kata Encik K. Rahman Khan, mantan menteri ehwal minoriti kepada AFP.

Encik Modi secara terbuka cuba untuk meredakan ketegangan, menyeru "penyatuan dan persaudaraan".

Beliau menulis di Twitter bahawa "COVID-19 tidak melihat pada bangsa, agama, warna, kasta, kepercayaan, bahasa atau sempadan sebelum menyerang".

Namun Encik Shahid Siddiqui, dari Muslim India bagi Kemajuan dan Pembaharuan, sebuah kumpulan masyarakat sivil yang dibentuk untuk membanteras Islamophobia, berkata pemerintah mempunyai peranan dalam mencetuskan kebencian itu.

Golongan Muslim sebelum ini sudah "difitnah dan digambarkan sebagai berbahaya di bawah propaganda sistematik," kata Encik Siddiqui kepada AFP, sambil menambah virus korona hanya memburukkan keadaan.

"Ini (sudah menjadi) usaha disengajakan oleh media dan pemerintah untuk mengalihkan perhatian negara dari krisis dan membiarkan politik kebencian berleluasa." 

Sumber : AFP/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan