Skip to main content

Sabah perketat kawalan ekoran peningkatan kes COVID-19

Kerajaan Sabah memutuskan untuk memperketatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengawal penularan COVID-19 ekoran statisik kes wabak yang meningkat di negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sabah perketat kawalan ekoran peningkatan kes COVID-19

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Aug 2020 02:57PM Dikemas Kini : 06 Aug 2020 03:00PM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk memperketatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengawal penularan COVID-19 ekoran statisik kes wabak yang meningkat di negeri itu.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan bilangan keseluruhan kes positif COVID-19 pada 25 Julai lalu adalah 384. Ia bertambah sebanyak 18 kes kepada 402 jangkitan pada Selasa.

Encik Mohd Shafie berkata bilangan kes positif COVID-19 yang masih dirawat di hospital di seluruh negeri bagi tempoh ini meningkat kepada empat kali ganda iaitu daripada empat kes kepada 16 kes.

"Kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes positif ini dan khuatir penularan pandemik akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan.

"Justeru, pihak berwajib hendaklah meningkatkan penguatkuasaan SOP selain orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (6 Ogos).

Encik Mohd Shafie menambah pengusaha premis perniagaan juga hendaklah menghadkan bilangan pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa dan jumlah itu bergantung kepada saiz premis. Ini di samping memastikan laluan keluar masuk berasingan selain memperketatkan saringan kesihatan.

Jumlah kehadiran dalam majlis sosial dan rasmi juga, kata Encik Mohd Shafie, perlu dihadkan kepada 150 orang bagi tempoh maksimum tiga jam dengan hidangan makanan secara pek atau dihidangkan oleh pramusaji. Pemilik atau pengusaha premis pula perlu melaksanakan proses pembasmian kuman dengan lebih kerap.

"Kerajaan negeri menggesa pihak berwajib supaya memperluaskan liputan ujian saringan COVID-19 secara rawak kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya berdasarkan golongan dikenal pasti berisiko.

"Sekiranya perlu, ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk melalui udara, laut dan darat ke Sabah hendaklah dikuatkuasakan semula," katanya sambil mengingatkan rakyat Sabah untuk mengelakkan semua perjalanan serta aktiviti luar tidak perlu. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita