Skip to main content

Sabah benarkan solat jemaah, kegiatan masjid seluruh negeri mulai Jumaat ini

Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah serta kegiatan masjid dan surau di seluruh negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut ketetapan, berkuat kuasa Jumaat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sabah benarkan solat jemaah, kegiatan masjid seluruh negeri mulai Jumaat ini

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 10:46PM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 10:49PM

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah serta kegiatan masjid dan surau di seluruh negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut ketetapan, berkuat kuasa Jumaat ini.

Mufti Sabah Bungsu Aziz Jaafar berkata kebenaran solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah adalah berdasarkan keupayaan sebenar keluasan masjid atau surau serta kemampuan ahli jawatankuasanya, dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard menetapkan jarak satu meter antara jemaah.

Beliau berkata jemaah bergejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak termasuk yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau dalam tempoh itu.

"Setiap jemaah hendaklah membuat pengesanan suhu badan, memakai pelitup muka, menggunakan pembersih tangan serta merekodkan kehadiran di dalam buku disediakan. Selain mengamalkan penjarakan sosial termasuk semasa solat, para jemaah juga diingatkan untuk mengelak bersalaman.

"Solat Jumaat perlu dilaksanakan di masjid atau surau yang dibenarkan walaupun bilangan jemaahnya kurang 40 orang dalam tempoh PKPP,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Mufti Bungsu berkata kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir menunaikannya di mana-mana masjid atau surau pada hari itu dan mereka diwajibkan menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Katanya ruangan terhad dibuka di luar masjid atau surau yang dibenarkan pihak berwajib bagi memudahkan golongan musafir dan seumpamanya yang ingin singgah untuk menunaikan solat.

Beliau juga berkata kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan yang dibenarkan di masjid dan surau merangkumi majlis ilmu, kuliah Maghrib dan Subuh sahaja selain majlis akad nikah dengan mematuhi garis panduan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Ibadah korban turut dibenarkan dilaksanakan di pekarangan masjid atau surau namun perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, katanya.

"Pengurusan jenazah dibenarkan dilaksanakan di masjid atau surau dengan mematuhi garis panduan pihak berwajib," kata beliau sambil menambah bahawa pembesar suara dibenarkan ketika melaksanakan akiviti di masjid atau surau.

Mufti Bungsu berkata semua pihak yang berkenaan hendaklah sentiasa mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan Kementerian Kesihatan serta pihak berwajib agama di Sabah.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita