S'pura sudah bersedia dengan pakej bantuan ketiga jika COVID-19 bertambah buruk, kata DPM Heng
Pemerintah sudah bersedia untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang ketiga jika penularan COVID-19 di Singapura semakin bertambah buruk, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (30 Mac).
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bersama anak kapal Singapore Airlines. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)
SINGAPURA: Pemerintah sudah bersedia untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang ketiga jika penularan COVID-19 di Singapura semakin bertambah buruk, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (30 Mac).
"Jika keadaan bertambah buruk, kita sudah bersiap sedia untuk menawarkan pakej ketiga," kata DPM Heng. "Saya mahu memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa kita mempunyai sumber-sumber untuk berbuat demikian jika kita perlu melaksanakannya."
Ia diumumkan selepas Encik Heng yang juga Menteri Kewangan, membentangkan pakej bantuan bersejarah, iaitu Belanjawan Berdaya Tahan bernilai S$48 bilion pada 26 Mac untuk membantu para pekerja dan syarikat-syarikat perusahaan sama-sama mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan memperteguhkan kebingkasan sosial.
Sebahagian daripada langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan tambahan itu akan ditampung sehingga S$17 bilion daripadanya melalui rizab negara dan Encik Heng tidak menolak kemungkinan lebih banyak rizab negara akan digunakan jika keadaan semakin terdesak.
Dalam Belanjawan Perpaduan yang diumumkan pada 18 Feb, DPM Heng mengikrarkan S$4 bilion bagi menyokong langkah-langkah yang bertujuan untuk memantapkan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan yang disebabkan oleh penularan virus korona COVID-19.
"Buat masa ini, mari kita menumpukan perhatian kepada usaha untuk memanfaatkan Belanjawan Berdaya Tahan dengan sebaik mungkin," tambah DPM Heng pada Isnin, yang turut menyifatkan bantuan yang dihulurkan itu sebagai satu "pakej yang sangat besar'. "Sebenarnya, salah satu sebab saya berada di sini hari ini adalah untuk melihat sendiri bagaimana industri penerbangan akan memanfaatkan pakej ini."
Encik Heng berkata demikian kepada para wartawan di Lapangan Terbang Changi selepas beliau bertemu dengan para pekerja daripada industri tersebut yang merupakan antara sektor paling terjejas teruk akibat pandemik global itu.
Lebih S$750 juta daripada Belanjawan Berdaya Tahan akan disalurkan untuk menyokong sektor penerbangan Singapura yang menggajikan lebih 190,000 pekerja dan menyumbang lebih lima peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura.
Lebih S$400 juta akan digunakan untuk menampung skim pekerjaan yang akan menyaksikan Pemerintah membiayai sehingga 75 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan pekerja.
Lagi S$350 juta akan digunakan untuk membantu perniagaan dalam sektor penerbangan, termasuk memberikan rebat bagi yuran meletak pesawat dan potongan sewa bagi syarikat-syarikat penerbangan, pengendali muatan dan ejen-ejen kargo udara.
Menurut DPM Heng, sektor penerbangan sudah menggunakan sumber-sumber sedia ada dengan sebaik-baiknya, sedang banyak syarikat memanfaatkan bantuan yang dihulurkan untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan mengkaji semula proses dan meneliti model perniagaan masing-masing.
"CEO dari pelbagai bahagian industri penerbangan turut berganding bahu untuk membangunkan pelan, termasuk pelan dalam bidang kajian dan pengembangan (R&D), latihan pekerja dan reka semula pekerjaan untuk bangkit dengan lebih teguh," dedah DPM Heng.
Para kakitangan yang terjejas pula sudah dikerahkan ke jabatan-jabatan atau pertubuhan-pertubuhan lain yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja untuk mengharungi wabak COVID-19 ini. Ini termasuk peranan-peranan seperti khidmat pelanggan, pengesanan kontak dan duta kebersihan di pusat-pusat penjaja.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan berlaku pemberhentian pekerja di syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang sudahpun mengurangkan 96 peratus daripada kapasiti syarikat itu, DPM Heng berkata "buat masa ini, industri-industri - dan tentu sekali industri penerbangan - sedang berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan tenaga kerja mereka".
"Itulah sebabnya saya memperuntukkan lebih banyak sokongan dalam Belanjawan Berdaya Tahan untuk industri-industri yang paling teruk terjejas oleh COVID-19," tambah DPM Heng. "Saya yakin Singapore Airlines akan terus menimbangkannya dengan teliti dan berhati-hati serta berhemah semasa membuat keputusan mengenainya."
LANGKAH SELANJUTNYA SEDANG DIBINCANGKAN
Menurut DPM Heng, para pemimpin industri penerbangan sudah mengongsi 'idea-idea awal' dengan beliau berhubung langkah-langkah selanjutnya untuk mencergaskan semula sektor tersebut.
Dalam pada itu, para pakar perubatan memberi amaran kepada DPM Heng bahawa penularan COVID-19 'tidak mungkin akan berlalu pergi dengan pantas'.
Buat masa ini, Pemerintah menurut DPM Heng, akan terus menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengawal penularan dan kesannya terhadap ekonomi Singapura, apabila beliau diminta mengulas tentang keputusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk melonggarkan dasar kewangan negara pada Isnin (30 Mac).
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.