S'pura rancang hasilkan 30% keperluan zat makanan negara jelang 2030
Agensi Makanan Singapura (SFA) menetapkan sasaran untuk menghasilkan 30 peratus keperluan zat makanan Singapura menjelang 2030. Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mengumumkan demikian pada Khamis (7 Mac) dalam satu langkah yang bertujuan untuk menjamin makanan yang selamat.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) menetapkan sasaran untuk menghasilkan 30 peratus keperluan zat makanan Singapura menjelang 2030. Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mengumumkan demikian pada Khamis (7 Mac) dalam satu langkah yang bertujuan untuk menjamin makanan yang selamat.
"Singapura juga terdedah kepada ketidakstabilan pasaran makanan global kerana kita mengimport lebih 90 peratus bekalan makanan negara ini," kata Encik Masagos semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen. Keadaan yang menggugat bekalan makanan termasuk gangguan mendadak pada laluan pengangkutan, larangan eksport dan kesan perubahan iklim.
Menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), buah-buahan dan sayur-sayuran membentuk 50 peratus daripada keperluan zat makanan Singapura manakala protein dan bahan asas pula masing-masing membentuk 25 peratus.
Sasarannya adalah untuk menghasilkan 20 peratus daripada bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran, serta 10 peratus protein daripada sumber-sumber seperti daging dan ikan di negara ini. Buat masa ini, Singapura menghasilkan kurang 10 peratus keperluan zat makanannya dalam negeri.
Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) membentangkan empat cara untuk mencapai sasaran tersebut.
GUNA TEKNOLOGI UNTUK TINGKATKAN HASIL DENGAN SEDIKIT SUMBER
MEWR menyatakan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian membantu meningkatkan pengeluaran, pengurusan sumber secara cekap dan berdaya tahan menghadapi perubahan iklim.
Menurut kementerian itu, SFA akan terus menyokong para petani membangunkan keupayaan mereka, serta menyediakan sokongan teknikal dan menggalak pemindahan teknologi.
Para petani juga boleh terus memanfaatkan Dana Daya Penghasilan Pertanian untuk membiayai sistem-sistem yang dapat mengawal perubahan sekitaran dengan lebih baik serta mempertingkatkan keupayaan daya penghasilan, menurut MEWR lagi.
MENYEDIAKAN RUANG PERTANIAN
Selain teknologi, MEWR menyatakan bahawa Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sedang meneroka cara-cara untuk menyediakan lebih banyak ruang untuk menghasilkan makanan di negara ini, termasuk menggunakan ruang-ruang yang kurang digunakan ataupun ruang alternatif seperti bangunan negara yang dikosongkan serta kawasan bumbung dan laut dalam.
Selain kegiatan pertanian di darat, kementerian itu juga akan "memberi tumpuan yang sama" terhadap penternakan ikan yang produktif dan mampan, dengan menjadikan Singapura sebuah hab bagi teknologi akuakultur tropik sebagai matlamat jangka panjangnya.
MEWR mengumumkan bahawa SFA akan bekerjasama dengan agensi-agensi untuk membuka lebih banyak tapak bagi penternakan ikan, sambil menambah bahawa jenis pertanian ini akan "menyumbang besar" kepada bekalan makanan yang dihasilkan di Singapura disebabkan oleh daya penghasilan yang tinggi.
MEMBANGUNKAN BAKAT TEMPATAN
Bagi para petani pula, MEWR menyatakan adalah penting untuk membangunkan bakat tempatan yang memahami proses penghasilan makanan dan model-model perniagaan bandar. Mereka juga merupakan pakar dalam pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan serta pengurusan sisa dan tenaga.
Kementerian itu menyatakan SFA akan bekerjasama dengan universiti-universiti bagi program-program sarjana muda dan pos ijazah untuk membangunkan ahli teknologi pertanian dan akuakultur serta para pakar pertanian bandar dan penyelidik bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
MEWR turut menyatakan bahawa SFA akan terus menyertakan Institusi Pengajian Tinggi bagi membangunkan program-program relevan bagi memenuhi keperluan industri.
GALAK PENGGUNA SOKONG HASIL TEMPATAN
MEWR menyatakan para pengguna harus memainkan peranan dengan "menyokong hasil tempatan".
"Dengan memilih hasil tempatan, ia akan membantu menyokong perniagaan para petani tempatan dan mendorong mereka supaya memanfaatkan teknologi serta menjadi lebih produktif demi memenuhi permintaan yang kian meningkat," menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa hasil tempatan biasanya adalah lebih sihat dan segar.
Kementerian itu menyatakan bahawa ia sudahpun memperkenalkan inisiatif-inisiatif pendidikan awam bagi mempromosikan hasil tempatan serta menggalak para pembeli supaya memilih hasil tempatan. Ini dilakukan dengan bekerjasama dengan pasar-pasar raya untuk menganjurkan pesta hasil tempatan dan menjadikannya lebih mudah untuk dikenal pasti.
Encik Masagos bagaimanapun akur bahawa sasaran itu adalah "agak mencabar dalam usaha untuk meningkatkan penghasilan kami buat masa ini".
"Aspirasi kami adalah untuk menjadikan Singapura sebuah hab pertanian makanan yang mengeksport huraian mampan," menurut MEWR lagi. "Perubahan pada industri penghasilan makanan akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi pekerjaan dan perusahaan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.