Skip to main content

S'pura perlu pantau rapi pandemik; laksana langkah sesuai, kata Ketua NCID

Ketua Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) berkata Singapura perlu memantau dengan teliti penularan COVID-19 dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Dec 2021 10:27PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 12:17AM

SINGAPURA: Ketua Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) berkata Singapura perlu memantau dengan teliti penularan COVID-19 dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya.

Profesor Leo Yee Sin memberi jawapan itu apabila diminta mengulas mengenai kemunculan varian Omicron.

Beliau menulis sebuah buku untuk membantu kanak-kanak lebih memahami tentang COVID-19 dan bagaimana untuk menyesuaikan diri hidup dalam keadaan kebiasaan baru. Buku tersebut dilancarkan siang tadi (13 Dis).

Buku berjudul 'Kisah Koronavirus Saya' atau 'My Coronavirus Story' menceritakan tentang pandemik COVID-19 dari sudut pandangan anak-anak kecil.

Buku itu memamparkan 21 lukisan kanak-kanak, dengan tujuan mendidik golongan kecil itu tentang bagaimana dunia menyesuaikan diri untuk hidup dengan virus tersebut.

"Pada akhirnya, ia tentang peranan setiap seorang daripada kita yang berusaha untuk membantu orang lain. Pada pendapat saya, itulah yang digambarkan dalam buku ini iaitu semangat masyarakat," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

"Buku ini juga mencerminkan harapan kita buat kanak-kanak bahawa kita akan dapat mengharungi masa-masa ini dan mereka akan mempunyai masa depan yang cerah," tambahnya.

Profesor Leo pula berkata untuk mewujudkan masa depan yang cerah, kita perlu membuat persiapan bagi menghadapi sesuatu yang tidak diduga.

"Kemunculan Omicron adalah satu peristiwa yang tidak diduga. Maka itu, adalah penting untuk mempunyai pemikiran terbuka dan bersikap fleksibel. Saya berpendapat kita perlu memantau dengan teliti virus itu agar kita boleh melaksanakan langkah-langkah dan tindak balas yang sewajarnya bagi menangani sebarang kesan virus tersebut," ujar Profesor Leo.

Salah satunya, dengan memupuk tabiat baik dalam kalangan kanak-kanak.

Buku itu disokong oleh Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan sejauh ini, 1,000 naskhah sudah dicetak.

Buku tersebut akan diberikan kepada semua sekolah rendah di Singapura.

Orang ramai yang mahu membacanya pula boleh meminjam buku tersebut di perpustakaan-perpustakaan awam. 

Sumber : CNA/AI/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita