Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura mula nampak 'tanda menggalakkan' tapi perjalanan COVID-19 'masih berliku', kata PM Lee

Singapura sudah mula menyaksikan 'tanda-tanda memberangsangkan' dalam perjalanan menempuh COVID-19 tetapi kita belum terlepas dari cengkamannya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (13 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mula nampak 'tanda menggalakkan' tapi perjalanan COVID-19 'masih berliku', kata PM Lee

(Gambar: Roslan RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 08:37PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 08:38PM

SINGAPURA: Singapura sudah mula menyaksikan 'tanda-tanda memberangsangkan' dalam perjalanan menempuh COVID-19 tetapi kita belum terlepas dari cengkamannya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (13 Dis).

"Lonjakan pada jumlah kes sepanjang tiga bulan lalu sudah merosot dan berkurangan. Kita sudah melindungi sistem jagaan kesihatan kita dan memastikan jumlah kematian kekal rendah," kata beliau sambil menambah bahawa Singapura kini sedang bersiap sedia menghadapi kesan daripada varian Omicron.

"Dos penggalak akan menjadi bahagian penting dalam strategi kita," ujar PM Lee.

"Kita belum lagi dapat mengatasinya, namun, kita yakin bahawa kita akan dapat mengawal Omicron kerana dengan adanya vaksinasi dan dos penggalak, kita berada di kedudukan yang lebih baik hari ini untuk menangani COVID-19."

PM Lee berkata demikian semasa berucap di Kelab Masyarakat Jurong Spring hari ini (13 Dis) di mana beliau melancarkan skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$130 juta.

Seramai 1.3 juta keluarga rakyat Singapura akan menerima baucar bernilai S$100 dalam bentuk digital yang boleh digunakan di pusat penjaja serta kedai-kedai di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Singapura kerana kekal "bersatu dan berdaya tahan" mengharungi COVID-19, PM Lee berkata beliau berharap baucar CDC itu akan melambangkan satu "sumbangan muhibah yang akan membangkitkan semangat tatkala masa-masa sukar ini".

"Baucar ini adalah untuk menzahirkan penghargaan Pemerintah atas perpaduan semua orang tatkala tempoh mencabar ini. Baucar ini juga dapat membantu menampung perbelanjaan harian anda - makanan, barangan keperluan rumah serta khidmat penting."

"Pada masa yang sama, baucar ini juga akan menyokong perniagaan kedai-kedai di kawasan kejiranan kita serta para penjaja yang terjejas teruk sewaktu pandemik ini."

Ini adalah kali pertama baucar tersebut akan diagihkan secara digital kerana sebelum ini baucar fizikal digunakan untuk berbuat demikian.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan untuk skim baucar itu, mereka boleh mengunjungi Balai Rakyat atau Kelab Masyarakat (CC). Keutamaan akan diberikan kepada warga tua tanpa anggota keluarga di sisi untuk menolong mereka menebus baucar tersebut.

Para penduduk yang tidak memiliki telefon bimbit atau memerlukan akaun Singpass ataupun menukar kata laluan akaun Singpass mereka juga boleh ke CC untuk mendapatkan bantuan.

Jika perlu, terdapat pilihan untuk mencetak salinan baucar tersebut di CC.

Bantuan juga akan dihulurkan di Jawatankuasa Penduduk/Jawatankuasa Kejiranan serta Pusat Rangkaian Penduduk terpilih yang terletak di kawasan dengan lebih ramai penduduk warga emas untuk membimbing mereka tentang cara-cara untuk menebus baucar itu.

Selain itu, para duta digital di hab masyarakat SG Digital yang ditempatkan di CC serta perpustakaan awam terpilih akan membantu penduduk yang kurang celik digital. Para duta dari Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) juga akan membantu dengan sebarang pertanyaan semasa melakukan lawatan dari rumah ke rumah warga tua.

"Kita akan belajar daripada pengalaman ini supaya pada masa akan datang, apabila kita melancarkan skim sebegini, ia akan menjadi lebih mudah untuk digunakan. Dengan cara ini, rakyat Singapura dan warga emas khususnya, boleh diyakinkan bahawa setiap keluarga yang layak boleh mendapat manfaat meraih manfaat daripada baucar CDC ini," ujar PM Lee.

"Perjuangan kita melawan COVID-19 adalah satu perjalanan yang panjang dan berliku. Virus ini sudah beberapa kali membawa kejutan kepada kita dan kita perlu menyesuaikan respons kita setiap kali," tambah beliau.

"Ia sudah menjadi satu cabaran buat semua orang, terutama sekali penduduk dan perniagaan di kawasan kejiranan yang harus menyesuaikan diri dengan dasar-dasar baru dan sekatan yang berubah-ubah. Terima kasih kerana bersabar dengan kami dan atas kepercayaan serta sokongan berterusan anda, sedang kita mengharungi masa-masa sulit ini." 

Sumber : CNA/NY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan