S'pura lapor 7 kes baru COVID-19, kesemuanya kes import
Singapura melaporkan tujuh kes baru COVID-19 setakat tengah hari Rabu (27 Okt), kesemuanya adalah kes import.
Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
SINGAPURA: Singapura melaporkan tujuh kes baru COVID-19 setakat tengah hari Rabu (28 Okt), kesemuanya adalah kes import.
Kes tersebut dikenakan notis Jangan Keluar Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini awal hariannya.
Tiada jangkitan dalam masyarakat dilaporkan pada Rabu.
Ini sekali gus membawa jumlah terkumpul kes COVID-19 di Singapura kepada sebanyak 57,987.
Lebih banyak butiran mengenai kes hari ini akan dikeluarkan pada malam ini, tambah kementerian itu.
ATURAN PASTIKAN KESELAMATAN PELAJAR AMBIL KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
Para pelajar boleh mengambil keputusan peperiksaan nasional mereka sendiri tahun ini dengan langkah-langkah keselamatan COVID-19.
Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) menyatakan pada Selasa (27 Okt) bahawa pihaknya "akur bahawa bagi ramai pelajar mengambil keputusan peperiksaan mereka sendiri adalah sebahagian penting dalam perjalanan pendidikan mereka".
Pengambilan keputusan tahun ini akan dilakukan dalam kumpulan kecil di bilik-bilik darjah berasingan, dan bukannya di tempat-tempat yang menampung ramai orang seperti dewan sekolah. Para pelajar perlu mendaftar masuk menggunakan SafeEntry, dan disaring untuk gejala demam dan selesema.
Ibu bapa atau penjaga dibenarkan menemani pelajar untuk mengambil keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) mereka. Bagaimanapun, mereka perlu menunggu di ruang-ruang bersama yang ditetapkan sementara pelajar tersebut mengambil keputusan di dalam bilik darjah.
Bagi calon peperiksaan peringkat GCE, hanya pelajar akan dibenarkan memasuki sekolah.
Tarikh-tarikh untuk keputusan peperiksaan akan diumumkan kira-kira seminggu sebelum ia dikeluarkan. Para pelajar juga dapat melihat keputusan peperiksaan mereka secara online pada hari keputusan dikeluarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.