Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura lapor 469 kes baru COVID-19; Masjid Assyakirin dikunjungi kes COVID-19 sewaktu berjangkit

Sebanyak 469 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin (27 Jul), termasuk 15 kes import dan dua jangkitan dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 469 kes baru COVID-19; Masjid Assyakirin dikunjungi kes COVID-19 sewaktu berjangkit

Masjid Assyakirin. (Gambar: Ustaz Muhammad Hafiz)

Diterbitkan : 27 Jul 2020 11:32PM Dikemas Kini : 27 Jul 2020 11:38PM

SINGAPURA: Sebanyak 469 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin (27 Jul), termasuk 15 kes import dan dua jangkitan dalam masyarakat.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 50,838.

Sebanyak lapan daripada kes import baru itu membuat perjalanan dari India manakala lagi tujuh kes tiba dari Filipina, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dalam kalangan kes import itu, dua merupakan rakyat Singapura yang pulang dari India pada 15 Jul.

Lagi 11 kes adalah pemegang permit kerja atau pas kerja yang kini bekerja di Singapura. Mereka tiba di Singapura dari India atau Filipina antara 14 Jul dan 15 Jul.

Baki dua kes import lain merupakan tanggungan pemegang pas yang tiba dari India pada 12 Jul dan 14 Jul. Salah seorang daripadanya adalah bayi berusia satu tahun yang merupakan kenalan kepada satu kes disahkan sebelum ini.

MOH menyatakan kesemua kes import sudahpun diletakkan di bawah notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya mereka di Singapura.

KES MASYARAKAT TERKAIT DENGAN DORMITORI

Bagi dua kes baru dalam masyarakat pula, seorang adalah rakyat Singapura manakala seorang lagi merupakan pemegang pas kerja, menurut MOH.

Kedua-duanya terkait dengan kes atau kelompok dan mereka dikesan menerusi pemeriksaan ke atas individu yang bekerja di dormitori sekalipun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom.

Satu daripada kes itu adalah lelaki Singapura berusia 29 tahun yang terkait dengan dormitori CDPL Tuas.

Satu lagi kes masyarakat adalah lelaki berusia 30 tahun dari India dan beliau terkait dengan dormitori ASPRI-Westlite Papan.

"Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada purata lima kes sehari pada minggu lalu daripada purata 10 kes sehari pada minggu sebelumnya," menurut MOH.

Jumlah kes tiada kaitan dalam masyarakat juga berkurangan kepada purata tiga kes sehari pada minggu lalu daripada purata lima kes sehari pada minggu sebelumnya, tambah MOH.

Baki kes baru adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing.

Satu kelompok dormitori baru juga dikenal pasti. Ia terletak di 6 Sungei Kadut Street 2 dan buat masa ini mempunyai lima jangkitan disahkan positif.

MASJID ASSYAKIRIN DIKUNJUNGI KES COVID-19 SEMASA BERJANGKIT

Sementara itu, beberapa lokasi ditambah ke dalam senarai tempat yang dikunjungi kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh mereka boleh menjangkiti orang lain.

Ia termasuk Masjid Assyakirin di Taman Jurong, pusat beli-belah Queensway, Ramada by Wyndham Singapore di Taman Zhongshan dan cawangan FairPrice di Kampung Admiralty.

Masjid Assyakirin yang terletak di 550 Yung An Road dikunjungi kes positif COVID-19 pada 17 Jul antara 1.55 tengah hari hingga 2.35 petang.

Mereka yang sudah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 yang disahkan sudahpun dimaklumkan oleh MOH, menurut kementerian itu.

Ia menambah bahawa mereka yang telah ke tempat tersebut semasa waktu yang dinyatakan harus memantau rapi kesihatan mereka selama 14 hari bermula daripada tarikh kunjungan.
"Mereka harus segera berjumpa doktor jika mereka mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (seperti batuk, sakit tekak dan selesema), serta demam dan kehilangan deria rasa atau bau, dan memberitahu doktor mengenai sejarah pendedahan mereka."

Orang ramai tidak perlu mengelakkan tempat yang dikunjungi kes COVID-19, kata MOH.

Agensi Sekitaran Nasional akan melibatkan pihak pengurusan premis yang terlibat untuk memberi panduan mengenai pembersihan dan pembasmian kuman.

171 LAGI KES SUDAH SEMBUH DAN DIBENAR PULANG

MOH menyatakan 171 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 45,692 pesakit sudah sembuh sepenuhnya daripada virus korona itu.

Dalam pada itu, 179 kes positif masih dirawat di hospital. Kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Tiada kes dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Lagi 4,940 pesakit pula diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Seperti dilaporkan sebelum ini, 27 pesakit meninggal dunia daripada komplikasi akibat jangkitan COVID-19. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan