Skip to main content

S'pura akan hantar 500,000 dos COVID-19 ke Australia; bakal dipulangkan Disember ini

Singapura akan menghantar 500,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech ke Australia sebagai sebahagian daripada satu perjanjian "pengongsian dos".

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan hantar 500,000 dos COVID-19 ke Australia; bakal dipulangkan Disember ini

Vaksin Pfizer-BioNTech. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 01:32PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 01:33PM

SINGAPURA: Singapura akan menghantar 500,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech ke Australia sebagai sebahagian daripada satu perjanjian "pengongsian dos".

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (31 Ogos).

Di bawah perjanjian itu Australia akan memulangkan kembali jumlah vaksin yang sama kepada Singapura pada Disember, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu catatan Facebook.

Setengah juta dos vaksin yang akan dihantar Singapura adalah daripada bekalan sedia ada dan negara ini mempunyai dos vaksin yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sekarang ini, menurut MFA. Kementerian itu menambah bahawa dos vaksin yang dipulangkan pada hujung tahun ini mungkin akan digunakan sebagai suntikan vaksin ketiga bagi "segmen-segmen khusus" dalam kalangan penduduk Singapura yang boleh meraih faedah daripada suntikan sedemikian.

"Aturan itu membolehkan kedua-dua negara untuk menyokong satu sama lain dalam mengoptimumkan jadual masing-masing untuk memberi vaksin kepada para penduduknya dalam menentang COVID-19," menurut MFA.

"(Ia) akan membantu Australia mempercepat program vaksinasi di tengah-tengak lonjakan kes sekarang ini disebabkan varian Delta."

MFA juga menyatakan bahawa Singapura berterima kasih kepada Pfizer dan BioNTech kerana membantu mempermudahkan aturan pengongsian dos itu.

Dalam catatan Facebooknya, PM Lee memuji langkah tersebut sebagai satu lagi contoh Kerjasama Strategik Menyeluruh antara kedua-dua negara.

"Besar hati dapat membantu usaha mereka untuk memvaksin para penduduk Australia secepat mungkin," kata PM Lee.

"Negara-negara mesti bersatu dalam perang membendung pandemik agar kita semua boleh melangkah ke arah norma baru. Singapura bersedia untuk menghulurkan bantuan."

Menurut ABC News, Perdana Menteri Scott Morrison berkata dos-dos vaksin itu akan diagihkan merata Australia mulai minggu depan, untuk dikongsi sama rata dengan semua wilayah dan kawasan mengikut bilangan penduduk.

Langkah itu akan membantu program vaksinasi nasional Australia untuk memberi suntikan vaksin kepada dua golongan usia - mereka berusia 16 hingga 29 tahun dan yang berusia 12 hingga 15 tahun, menurut ABC News, yang memetik PM Morrison. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita