S$7.7 juta lesap dalam penipuan 'sokongan teknikal', 4 bulan pertama tahun ini, naik 45 kali ganda dari tahun lalu
Apabila Cik Barbara (bukan nama sebenar), 61 tahun, menerima panggilan pada pertengahan April dari dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Singtel dan pegawai keselamatan siber, beliau tidak mempunyai sebab untuk meragui mereka.
SINGAPURA: Apabila Cik Barbara (bukan nama sebenar), 61 tahun, menerima panggilan pada pertengahan April dari dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Singtel dan pegawai keselamatan siber, beliau tidak mempunyai sebab untuk meragui mereka.
Penduduk tetap Singapura itu diberitahu oleh pemanggil bahawa beliau perlu membantu mereka mengesan penggodam yang menggunakan alamat IP-nya untuk membuat urus niaga haram bitcoin. Cik Barbara mematuhi arahan mereka, termasuk memberikan alamat emel, nombor akaun bank, akses ke komputernya dan kata laluan perbankan sekali pakai (OTP).
Hanya tiga hari kemudian, apabila Pusat Anti-Penipuan (ASC) Pasukan Polis Singapura (SPF) menghubunginya baru beliau sedar dirinya ditipu, dan lelaki berkenaan sudah mengeluarkan AS$65,000 (S$91,040) daripada akaun banknya.
Jumlah yang dicuri dari Cik Barbara hanyalah sebahagian kecil berbanding S$7.7 juta yang dicuri oleh penipuan "sokongan teknikal" antara Januari hingga April tahun ini, lonjakan 45 kali ganda berbanding S$169,000 yang hilang akibat penipuan serupa dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut SPF pada Khamis (4 Jun).
Jumlah paling banyak dicuri dalam penipuan sedemikian setakat tahun ini ialah S$958,500.
CARA PENIPUAN
Pelakunya menggunakan bahasa Inggeris untuk melakukan angkara mereka, dan sekitar 70 peratus mangsa berusia antara 40 hingga 75 tahun, menurut SPF.
Dalam penipuan sokongan teknikal, mangsa akan menerima panggilan telefon yang tidak dijangka dari penipu itu, yang menyamar sebagai kakitangan penyedia khidmat telko tempatan atau agensi pemerintah.
Pelakunya kemudian memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai masalah dengan sambungan internet mereka atau mereka melakukan kesalahan jenayah, memujuk mereka untuk memasang aplikasi perisian yang membolehkan penipu mengakses komputer mangsa dari jarak jauh.
Setelah perisian dipasang, penipu akan memberitahu mangsa untuk log masuk ke akaun perbankan online mereka dan kemudian meminta mereka kata laluan sekali guna OTP yang dihantar ke telefon bimbit mereka. Penipu itu kemudiannya akan memindahkan wang dari akaun mangsa.
"KETAKUTAN, SANGAT MEYAKINKAN"
"Saya cukup ketakutan, ia (penipuan) cukup meyakinkan," kata Cik Barbara dalam wawancara telefon dengan pihak media pada Khamis. Tambah beliau, ketika penipu itu menghubungi, beliau sudah berada dalam keadaan cemas mengenai situasi COVID-19 dan pemutus jangkitan, yang bermula pada 7 April.
Walaupun pada awalnya meragui kesahihan pemanggil, beliau berkata mereka tampak berpengetahuan dan memberikan jawapan yang memuaskan bagi semua pertanyaannya.
Mereka juga memberinya nombor pengenalan pekerja dan nombor telefon yang palsu, bahkan memberitahunya bahawa Pemerintah memperuntukkan belanjawan khusus untuk memburu penjenayah siber seperti yang mereka gambarkan.
Sekiranya pandemik COVID-19 tidak berlaku, berkemungkinan Cik Barbara akan berada di tempat kerja ketika itu dan akan merujuk kepada orang lain setelah menerima panggilan itu, katanya.
AMBIL MASA SAHKAN IDENTITI
Cik Barbara kongsi bahawa beliau akan lebih waspada mulai sekarang, dan akan mengesahkan identiti pemanggil yang menyamar sebagai pegawai pemerintah atau kakitangan syarikat dengan menghubungi talian hotline rasmi yang sesuai.
"Pasti ada masa untuk mengesahkan identiti ... Walaupun memerlukan beberapa minit, itulah yang saya nasihatkan," katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya jangan sesekali memberikan butiran peribadi, perincian perbankan atau kata laluan sekali paaki kepada orang yang tidak dikenali atau tidak disahkan mereka identiti, kata SPF.
Sekiranya mereka sedar sudah menjadi mangsa penipuan, mereka perlu log keluar dari komputer untuk mengelakkan penipu melakukan aktiviti lebih lanjut pada peranti mereka, tukar butir perbankan mereka dan melaporkan kejadian itu ke bank mereka dan polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.