S$11 bilion dari rizab negara dijangka tampung Belanjawan 2021
Pemerintah menyarankan untuk mengeluarkan S$11 bilion daripada rizab negara yang lalu untuk membiayai langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan Negara tahun ini.
SINGAPURA: Pemerintah menyarankan untuk mengeluarkan S$11 bilion daripada rizab negara yang lalu untuk membiayai langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan Negara tahun ini.
Ia merupakan kali pertama dana rizab negara digunakan buat dua tahun berturut-turut.
Sebelum ini, pemerintah menggunakan rizab negara bagi membiayai langkah-langkah dalam Belanjawan Berdaya Tahan COVID-19.
Langkah-langkah tersebut bertujuan membantu rakyat Singapura dan perniagaan-perniagaan mengharungi krisis pandemik ini.
Presiden Halimah Yacob sudahpun memberikan persetujuan secara prinsip bagi menggunakan rizab itu.
Pemerintah menjangkakan bahawa Belanjawan tahun ini akan menyebabkan defisit S$11 bilion atau 2.2 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
DPM Heng berkata keadaan fiskal negara dijangka ketat dalam masa beberapa tahun akan datang.
Pemerintah perlu melakukan rancangan untuk perbelanjaan masa hadapan.
DPM Heng berkata kenaikan pada cukai barangan dan perkhidmatan (GST)yang diumumkan sebelum ini tidak akan dikuatkuasakan pada tahun ini.
Ia sebaliknya akan dikuatkuasakan antara tahun depan dengan tahun 2025.
Mulai tahun 2023, GST juga akan dikenakan ke atas barangan diimport dengan nilai yang rendah.
Pemerintah juga merancang untuk mengeluarkan bon dengan had pinjaman S$90 bilion bagi membantu membiayai prasarana utama dan jangka panjang.
Menurut DPM Heng, pendekatan seumpama itu akan membolehkan Pemerintah untuk membahagikan kos pelaburan sedemikian secara adil dalam kalangan semua generasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.