Skip to main content

RI, Pusat Bahasa MOE (Bishan), gantung semua kelas esok selepas pelajar diuji positif COVID-19

Sekolah Raffles Institution (RI) dan Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOE) di Bishan akan ditutup sehari pada Jumaat (28 Feb) bagi kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman menyeluruh dijalankan.  

Anggaran Waktu Membaca:
RI, Pusat Bahasa MOE (Bishan), gantung semua kelas esok selepas pelajar diuji positif COVID-19

Gambar fail Raffles Institiution.

Diterbitkan : 27 Feb 2020 11:04PM Dikemas Kini : 27 Feb 2020 11:08PM

SINGAPURA: Sekolah Raffles Institution (RI) dan Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOE) di Bishan akan ditutup sehari pada Jumaat (28 Feb) bagi kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman menyeluruh dijalankan setelah seorang pelajar RI berusia 12 tahun disahkan positif virus COVID-19.

RI juga menggantung sekolah bagi pelajar Tahun 1 hingga 6 untuk menjalankan kerja pembersihan dan pembasmian kuman menyeluruh di sekolah tersebut, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media pada Khamis (27 Feb).

Semua kelas di Pusat Bahasa MOE di Bishan yang dihadiri pelajar itu juga digantung sehari esok bagi tujuan sama, tambah MOE.

Kelas di RI dan pusat bahasa berkenaan disambung pada Isnin.

Pelajar rakyat Singapura Tahun 1 itu adalah salah seorang daripada tiga pesakit baru COVID-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Dia berkait dengan seorang anggota keluarga - Kes 94, seorang wanita berusia 64 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China atau Daegu dan Cheongdo di Korea Selatan.

Dia jatuh sakit pada 21 Feb dan disahkan positif COVID-19 pada 27 Feb. Dia kini dirawat dalam bilik pengasingan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

"Mujur pelajar itu bersikap bertanggungjawab dan tidak ke sekolah apabila dia sedang sakit," menurut Menteri Pendidikan Ong Ye Kung dalam satu catatan Facebook.

PELAJAR KE RI PADA 21 FEB, PUSAT BAHASA PADA 20 FEB

Kali terakhir pelajar itu berada di RI adalah pada 21 Feb, dan menghadiri satu kelas di pusat bahasa Bishan pada 20 Feb.

Semua pelajar, guru dan kakitangan yang baru-baru ini berhubungan dekat dengan pelajar tersebut diberi cuti tanpa hadir (LOA)14 hari.
Usaha mengesan para individu yang berhubung rapat dengan pelajar itu masih lagi dijalankan.

Selain itu, semua kegiatan kokurikulum bagi pelajar Tahun 1 hingga 6 di RI digantung selama dua minggu.

"Langkah-langkah ini akan menyediakan satu lagi lapisan perlindungan bagi RI, selain langkah berjaga-jaga yang diumumkan MOE sebelum ini bagi seluruh sistem sekolah," ulas MOE dalam satu kenyataan media.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita