Rekod S'pura dipecahkan di Wisma Geylang Serai: 6,030 ketupat dianyam dalam 12 jam
Sebanyak 6,030 ketupat berjaya dianyam dalam tempoh 12 jam di Wisma Geylang Serai semasa acara Ketupat-thon hari ini (2 Jun).
SINGAPURA: Sebanyak 6,030 ketupat berjaya dianyam dalam tempoh 12 jam di Wisma Geylang Serai semasa acara Ketupat-thon hari ini (2 Jun).
Ini sekali gus mencatat satu rekod baru Singapura bagi ketupat paling banyak dianyam dalam satu acara awam.
Jumlah itu 60 peratus lebih banyak berbanding rekod yang dicatatkan tahun lalu - 3,775 ketupat.
Percubaan itu dimulakan sejak jam 8.00 pagi lagi dengan lebih 450 sukarelawan dari pelbagai persatuan Melayu/Islam seperti MUIS, MENDAKI, Persatuan Silat Singapura, serta Ibu Pejabat PCF dan pihak akar umbi hadir beramai-ramai untuk menyokong projek amal Ketupat-thon.
Ini kali tahun kedua Ketupat-thon dijalankan selepas acara sulungnya tahun lalu.
KEKALKAN BUDAYA MENGANYAM SUPAYA TIDAK DITELAN ZAMAN
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman semasa merasmikan acara Ketupat-thon ini berharap acara ini antara lain dapat memastikan budaya menganyam ketupat tidak ditelan zaman dan terus dilestarikan.
Lantaran itu, WGS kali ini mengambil beberapa langkah untuk memastikan kejayaan Ketupat-thon.
"Mempelajari dari Ketupat-thon 2018, kami akur banyak yang tidak pandai menganyam ketupat.
"Tahun ini, kami mengadakan pemudah cara atau 'facilitators' untuk mengajar atau membimbing mereka yang tidak pandai menganyam ketupat - jadi itu satu pembaharuan hari ini," kata Pengurus Besar WGS, Encik Mulyadi Ahmad.
Dr Maliki yang juga merupakan Datuk bandar CDC Tenggara, meluahkan rasa gembira dengan kehadiran orang ramai yang berlainan bangsa.
"Kali ini sekali lagi kita melihat bagaimana lebih ramai lagi anggota masyarakat yang datang daripada berbilang kaum tak kira usia, tak kira kaum, mereka ramai-ramai datang ke mari, menganyam untuk beramal.
"Dan kami lihat ini adalah satu acara untuk kami meningkatkan ukhwah antara masyarakat," jelas Dr Maliki yang turut sama 'tunjuk handal' menganyam ketupat di acara itu.
DANA TERKUMPUL DISALUR KEPADA TAA DAN NEW LIFE STORIES
Setiap kelongsong ketupat yang dianyam kemudiannya dijual pada harga $0.40 sebiji.
Secara keseluruhannya pihak penganjur berharap dapat mengumpulkan S$45,500 tahun ini menerusi penjualan ketupat, sumbangan dari lapan penderma korporat dan derma peribadi berjumlah $15,000 oleh 11 Anggota Parlimen Melayu.
Daripada jumlah itu $25,500 akan disalurkan kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan $20,000 kepada badan kebajikan New Life Stories.
Acara Ketupat-thon ini turut dimeriahkan dengan tayangan filem, demonstrasi wayang kulit serta persembahan artis-artis tempatan seperti Jatt Ali, Junainah M Amin, Zubir Abdullah dan kumpulan Al-Jawaher.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.