Skip to main content

Iklan

Iklan

Reaksi pelajar: Dapat vaksin, dapat duduki GCE 'O' dengan lebih tenang

Langkah membenarkan para pelajar menjalani vaksinasi disambut baik sebilangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan nasional seperti GCE 'O' tahun ini. Malah ada yang memberitahu bahawa mereka tidak sabar untuk mendapatkannya. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah membenarkan para pelajar menjalani vaksinasi disambut baik sebilangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan nasional seperti GCE 'O' tahun ini. Malah ada yang memberitahu bahawa mereka tidak sabar untuk mendapatkannya.

Ini menyusuli pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (31 Mei) bahawa kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas boleh menempah slot untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bermula Selasa (1 Jun) dan suntikan boleh didapatkan seawal Khamis ini (3 Jun).

"Kumpulan seterusnya yang akan diberi vaksin adalah para pelajar. Dalam penularan terbaru ini, kami telah melihat lebih banyak kes kanak-kanak dijangkiti di sekolah dan pusat tuisyen," menurut PM Lee.

Encik Lee juga berkata bahawa keutamaan akan diberikan kepada mereka yang bakal mengambil peperiksaan peringkat 'O', 'N' dan 'A' serta para pelajar keperluan khas.

LEGA DAPAT DUDUKI GCE 'O' DENGAN TENANG

Antara pelajar GCE 'O' yang hari ini (1 Jun) sudah segera mendaftarkan diri untuk menempah slot vaksinasi ialah Aref Arfan Rabeni. Aref, pelajar Sekolah Menengah St Gabriel's akan menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech seawal Khamis (3 Jun) ini.

Dia berasa lega kerana dengan vaksinasi awal, dia akan dapat menduduki peperiksaan penting itu dengan tenang tanpa perlu berasa bimbang tentang kesihatannya.

"Enam bulan yang akan datang ini, terutama sekali bulan Oktober sangat mencabar untuk saya dan juga murid-murid lain. Pada pendapat saya, dengan mengambil vaksin ini, kami akan memberi penuh tumpuan kepada pelajaran tanpa berasa bimbang tentang virus ini," kata Aref.

Pandangan yang sama disuarakan pelajar bernama Tara Pillay, dari Sekolah Menengah CHIJ Toa Payoh. Dia yang bakal menduduki GCE 'O' hujung tahun ini juga mempunyai seorang adik yang akan menduduki Peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.

"Langkah ini menunjukkan bahawa pemerintah Singapura amat mementingkan pendidikan dan juga keselamatan kami. Saya akan berasa lebih selamat untuk menduduki peperiksaan setelah divaksinasi," ujar Tara Pillay.

Meski berasa ghairah, ada juga yang menyuarakan rasa bimbang terhadap kesan sampingan vaksin COVID-19 ke atas diri mereka nanti.

"Sebenarnya, saya tidak takut dengan prosesnya, tapi (takut) dengan kesan sampingan dari vaksin itu kerana mungkin saya akan menghadapi kesakitan selama beberapa hari setelah mendapat vaksin itu," kata Irfan Shahzaad Shah, pelajar menengah empat Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Paling kanan: Irfan Shahzaad Shah (Gambar: Irfan Shahzaad Shah)

Namun, pelajar ini tetap melahirkan harapan agar para pelajar sepertinya diberikan suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin.

"Saya harap dengan ini, ia akan membenarkan pelajar dan juga rakyat Singapura yang lain untuk mendapatkan vaksinasi mereka juga," ujar Irfan.

Bagi seorang lagi pelajar, meski sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin hari ini (1 Jun), perasaan bercampur baur tetap membelenggunya.

"Saya berasa ghairah dan cemas pada masa yang sama kerana saya tidak tahu apa kesan sampingan yang akan berlaku pada diri saya selepas mengambil vaksin itu," kata Harith Syafaat Kamsani, pelajar menengah lima Sekolah Menengah Tampines.

Menariknya walaupun akan mendapat suntikan yang akan memberi perlindungan kepada mereka daripada COVID-19, para pelajar itu akur bahawa walaupun sudah divaksin nanti, langkah berjaga-jaga tetap perlu mereka ambil di tengah-tengah pandemik ini yang masih belum ada penghujungnya.

(Laporan tambahan oleh Izzah Aqilah Norman) 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan