Skip to main content

Iklan

Iklan

"Ramai doktor menangis kecewa, tak mampu selamatkan pesakit muda COVID-19", luah doktor M'sia ini

“Ramai pakar dan doktor muda menangis kecewa sebab tak mampu menyelamatkan pesakit muda COVID-19.”

Anggaran Waktu Membaca:
"Ramai doktor menangis kecewa, tak mampu selamatkan pesakit muda COVID-19", luah doktor M'sia ini

Gambar: AFP

Diterbitkan : 03 Aug 2021 06:42PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 06:56PM

KUALA LUMPUR: “Ramai pakar dan doktor muda menangis kecewa sebab tak mampu menyelamatkan pesakit muda COVID-19.”

Begitulah luahan seorang doktor yang dikenali sebagai Hana Hadzrami menerusi akaun Facebook miliknya.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan cabaran varian baru yang menyerang pesakit dengan begitu pantas sekali, lapor Astro Awani.

Lebih menyedihkan lagi pesakit masih muda tetapi serangan virus menyebabkan paras oksigen darah turun mendadak.

"Semalam pesakit COVID-19 saya meninggal dunia. Cardiac arrest ketika dalam posisi telangkup, intubated. Kelam- kabut kami telentangkan dia untuk CPR. Tekanan saluran pernafasan sangat tinggi namun bukan disebabkan tiub tersumbat atau terbengkok.

"Beliau baru awal 40-an tahun. Semenjak kami tahu yang beliau balu dengan anak dua; kami memang sangat berwaspada," tulis beliau.

Hana mengongsi bahawa salah seorang anak mangsa baru berusia 15 tahun. Beliau tinggal di rumah kuarantin berdua dengan adiknya yang berusia 12 tahun.

"Kami tanya ada saudara-mara lain? Langsung tiada. Tiada datuk nenek. Tiada pakcik makcik. Ayah dah meninggal. Hanya jiran yang baik hati tolong hantar makanan semenjak ibu mereka masuk wad.
Dalam dunia cuma mereka bertiga. Bayangkan," tambah Hana dalam catatan beliau.

"Hati saya benar-benar kosong waktu saya mandi selepas doffing. Menangis dalam shower."

Namun kesedihan itu tidak bertahan lama.

Setengah jam kemudian Hana dipanggil masuk ke Unit Jagaan Rapi (ICU) kerana ada pesakit lain yang berusia 30 tahun "tiba-tiba desaturate (paras oksigen darah turun). Tukar tiub, telangkupkan dia. Sibuk sampai ke pagi."

Lapor Astro Awani, Hana turut meluahkan bahawa pesakit berusia antara 20 dengan 30 tahun juga boleh "meninggal dunia secara tiba-tiba di depan mata."

"Licik sungguh varian baru ini. Kami sedih namun tak sempat berduka. Segala keperitan kami simpan jauh di lubuk hati. Simpan, simpan, simpan hingga hati keras dan kebas. Sampai bila?" tanya beliau.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan