Skip to main content

Iklan

Iklan

Rakyat M'sia digesa patuh peraturan untuk elak gelombang ketiga COVID-19

Gelombang ketiga pandemik COVID-19 bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat M'sia digesa patuh peraturan untuk elak gelombang ketiga COVID-19

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Jul 2020 08:09AM Dikemas Kini : 28 Jul 2020 08:11AM

PUTRAJAYA: Gelombang ketiga pandemik COVID-19 bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kelompok baharu boleh menjadi punca pertambahan mendadak kes jika tidak dikawal penularannya dengan sebaik mungkin.

"Tsunami (COVID-19)? Kemungkinan ya kalau rakyat Malaysia tak patuh SOP. Tindakan pencegahan lebih penting.

"Kluster baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar, dan kalau kita tidak patuh SOP ibaratnya kita ini sebagai bahan api, jadi jika bara berjumpa dengan bahan api maka merebak menjadi satu kebakaran yang besar iaitu kes akan meningkat secara mendadak," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, pada Isnin (27 Jul).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sudah mencatat 120 kes baru pada minggu epidemik ke-30, iaitu dari 19 Julai hingga 25 Julai lepas dan ini menjadi kebimbangan sekiranya kes baharu terus mencatatkan peningkatan.

"Kalau 2,000 ke 3,000 kes dalam tempoh seminggu, hospital kita akan sesak dan tiada kemampuan untuk merawat pesakit dan pada masa itu kawalan kita akan tertumpu kepada hospital sahaja.

"Tetapi sekarang di peringkat awal (kita masih) boleh kawal dengan mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial, kedua-dua cara ini telah terbukti dapat memutuskan rantaian jangkitan antara 60 ke 70 peratus.

"Kita ada masa dan ruang yang tipis untuk memutuskan rantaian dan yang pasti kalau kita boleh patuh pada SOP, kehidupan harian kita boleh berjalan dengan biasa," katanya.

Gelombang pertama COVID-19 di Malaysia adalah menerusi pelancong dari China awal tahun ini, manakala gelombang kedua merupakan kes diimport.

Sementara itu ketika ditanya tentang pemakaian pelitup separuh muka yang dibuat daripada kain satu atau dua lapis, Dr Noor Hisham berkata ia tidak berkesan dalam membantu daripada dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan panduan bahawa ia mestilah menggunakan bahan bersifat hidrofilik dan hidrofobik bagi mengelakkan daripada jangkitan COVID-19.

"KKM tidak menggalakkan penggunaan face mask single layer, non-medical face mask kena ada tiga lapisan. Kalau nak guna pelitup muka dari jenis kain, kena pastikan ia tiga lapis.

"Kita sedang meninjau untuk menyediakan pelitup muka kepada golongan memerlukan seperti B40," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan