Skip to main content

Iklan

Iklan

Punca COVID-19 mungkin tidak akan diketahui

Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat pada Jumaat (29 Okt) menyatakan bahawa ia mungkin langsung tidak akan mengenal pasti punca COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Punca COVID-19 mungkin tidak akan diketahui

Gambar: AFP

Diterbitkan : 30 Oct 2021 11:25AM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 11:28AM

WASHINGTON: Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat pada Jumaat (29 Okt) menyatakan bahawa ia mungkin langsung tidak akan mengenal pasti punca COVID-19.

Demikian sedang agensi-agensi itu mengeluarkan versi terbaru semakan, yang lebih terperinci tentang sama ada koronavirus berasal daripada jangkitan haiwan ke manusia atau melalui kebocoran di sebuah makmal.

Pejabat Pengarah AS bagi Perisikan Nasional (ODNI) menyatakan dalam satu laporan yang diubah status kerahsiaannya bahawa punca semula jadi dan kebocoran makmal adalah hipotesis-hipotesis yang boleh diterima tentang bagaimana SARS-COV-2 pertama kali menjangkiti manusia, lapor Reuters.

Namun, ia menambah para penganalisis tidak bersetuju tentang yang mana lebih berkemungkinan berlaku atau sama ada sebarang penilaian kukuh boleh dibuat sama sekali.

Laporan itu juga menolak bahawa koronavirus asalnya adalah biosenjata, sambil menyatakan para pendukung teori itu "tidak mempunyai akses langsung kepada Institut Virologi Wuhan" dan didakwa menyebarkan maklumat palsu.

Pada Jumaat, Reuters melaporkan China bertindak dengan mengkritik laporan itu.

"Langkah AS untuk bergantung kepada agensi perisikan berbanding ahli sains untuk mengesan punca COVID-19 adalah sandiwara politik semata-mata," tegas Encik Liu Pengyu, jurucakap kedutaan China di Washington dalam satu kenyataan.

"...Ia hanya akan menjejas kajian puncanya berdasarkan sains dan menghambat usaha global dalam mencari asal virus itu," menurut kenyataan itu lagi.

Laporan ODNI itu menyatakan empat agensi perisikan Amerika Syarikat dan sebuah badan berbilang agensi "kurang yakin" bahawa COVID-19 berpunca daripada haiwan yang dijangkiti atau virus yang berhubung kait.

Tetapi, sebuah agensi menyatakan ia mempunyai "keyakinan sederhana" bahawa jangkitan COVID-19 pertama dalam kalangan manusia berkemungkinan besar adalah disebabkan insiden di makmal dan mungkin membabitkan eksperimen atau cara mengurus haiwan di Institut Virologi Wuhan.

Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat percaya ia tidak dapat memberi penjelasan lebih kukuh tentang punca COVID-19 tanpa maklumat baru yang menunjukkan sama ada virus tersebut menular melalui laluan khusus dari haiwan ke manusia atau sebuah makmal di Wuhan yang mengendalikan virus atau virus berhubung kait sebelum COVID-19 muncul.

Laporan itu menurut Reuters turut menyatakan agensi-agensi Amerika Syarikat dan masyarakat sains global kurang "sampel-sampel klinikal mahupun pemahaman menyeluruh tentang data epidemiologi daripada kes-kes terawal COVID-19" dan menambah ia boleh merujuk semula kepada dapatan yang tidak membawa pada sebarang keputusan itu sekiranya lebih banyak bukti ditampilkan.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan