Program pelatih bagi golongan pertengahan kerjaya sebahagian pendekatan baru Pemerintah bantu pemohon kerja, kata Josephine Teo
Pemerintah merancang untuk menggalak lebih ramai orang - termasuk karyawan pertengahan kerjaya - untuk merebut peluang menjalani latihan sebagai sebahagian daripada pendekatan baru untuk memperluaskan peluang pekerjaan di tengah-tengah pasaran pekerjaan yang lemah.
Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Pemerintah merancang untuk menggalak lebih ramai orang - termasuk karyawan pertengahan kerjaya - untuk merebut peluang menjalani latihan sebagai sebahagian daripada pendekatan baru untuk memperluaskan peluang pekerjaan di tengah-tengah pasaran pekerjaan yang lemah.
Memberikan kemas kini mengenai langkah-langkah untuk membantu para pekerja mengharungi kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata pada Jumaat (29 Mei) bahawa para pemohon kerja kini berdepan dengan lebih banyak keadaan yang mencabar disebabkan oleh iklim ekonomi masa kini.
Meskipun mereka tidak sabar untuk mendapatkan pekerjaan, para majikan pula belum bersedia untuk menggajikan mereka.
Jumlah pemohon kerja akan terus melebihi bilangan jawatan kosong yang ditawarkan, menurut Cik Teo kepada para wartawan menerusi persidangan video Zoom.
Ramalan awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan bahawa terdapat sekitar 70 jawatan kosong bagi setiap 100 pemohon kerja.
Dalam keadaan sebegini, Pemerintah mesti memanfaatkan "setiap saluran peluang" dan membuka seberapa banyak laluan untuk orang ramai mendapatkan pekerjaan, kata Cik Teo.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan satu skim baru bagi membantu pemohon kerja daripada golongan karyawan pertengahan kerjaya yang menganggur untuk menimba kemahiran dan memulakan kerjaya baru.
Skim Pelatih Pertengahan Kerjaya SGUnited akan memperuntukkan 4,000 tempat latihan bagi golongan karyawan pertengahan kerjaya.
Ini selain daripada 21,000 tempat latihan bagi pemohon kerja kali pertama di bawah Program Pelatih SGUnited.
Menurut Cik Teo, pasaran buruh di Singapura belum lagi sampai ke paras terendah, dengan kesan penuh pandemik itu besar kemungkinan hanya akan dirasakan pada suku kedua tahun ini.
Beliau menegaskan bahawa skim tersebut akan menyediakan para pemohon kerja yang mungkin kurang berminat untuk meluangkan masa di institut latihan dengan peluang untuk menimba pengalaman kerja.
Pada masa yang sama, syarikat-syaikat yang ingin merubah tetapi belum berhasil mendapatkan individu yang sesuai untuk membantunya dalam usaha tersebut mungkin boleh memanfaatkan kemahiran pemohon kerja daripada golongan pertengahan kerjaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.