Skip to main content

Iklan

Iklan

PM Lee: Acara Istiadat Hari Kebangsaan tegaskan lagi 'kemerdekaan dan kedaulatan' S'pura

Presiden Halimah Yacob menyatakan Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan bagi menyambut ulang tahun Singapura ke-56 hari ini (9 Ogos), walaupun dilakukan pada skala lebih kecil, "memaparkan kekuatan, ketabahan dan perpaduan negara kita".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menyatakan Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan bagi menyambut ulang tahun Singapura ke-56 hari ini (9 Ogos), walaupun dilakukan pada skala lebih kecil, "memaparkan kekuatan, ketabahan dan perpaduan negara kita".

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pula menekankan bahawa Singapura tidak pernah gagal mengadakan upacara menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun "demi menegaskan lagi kemerdekaan dan kedaulatan" negara ini.

Kedua-dua pemimpin itu mengisytiharkan demikian menerusi catatan Facebook masing-masing selepas menyertai upacara Perbarisan Istiadat tersebut hari ini, yang berlangsung di Pentas Terapung Marina Bay.

Hanya 100 sahaja daripada 27,000 kerusi yang terdapat di Pentas Terapung Marina Bay diisi untuk menonton upacara meraikan ulang tahun negara itu. Ia hanya dihadiri oleh para menteri kabinet, anggota parlimen (AP) dan para pekerja barisan hadapan.

Berbanding dengan perbarisan tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, yang lazimnya berlangsung pada waktu petang, Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan hari ini dijalankan pada sebelah pagi, iaitu jam 9 pagi.

Di pentas terapung itu juga hanya ada sekitar 700 orang peserta sahaja, iaitu kurang daripada separuh bilangan peserta pada tahun-tahun perbarisan biasa.

Selain para anggota kabinet, antara Anggota Parlimen yang hadir dalam acara istiadat itu termasuklah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad.

Yang pasti, mengadakan Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan, walaupun negara masih dicengkam COVID-19, merupakan suatu yang penting menurut para pemimpin negara.

"Hari ini kita mempunyai acara simbolik di mana kita ingin menandakan Hari Kebangsaan kita. Memang saya rasa amat penting kerana kita walaupun kita dalam keadaan COVID-19, memang kita perlu acara-acara sebegini untuk kita menyatukan rakyat Singapura," kata Encik Zaqy kepada BERITAmediacorp.

Seperti ramai di luar sana, Encik Zaqy tidak menafikan perbezaan acara itu tanpa elemen-elemen pertunjukan yang biasa disertakan dalam NDP termasuk pertunjukan bunga api.

"Memang berlainan apabila kita tidak mempunyai ahli keluarga bersama kita atau rakyat Singapura bersama untuk melihat, menonton dan menjayakan aktiviti perbarisan Hari Kebangsaan kita," tambah Encik Zaqy.

PEKERJA BARISAN HADAPAN DIWAKILI

Sempena meraikan ulang tahun negara, acara itu turut memberi sanjungan kepada para pekerja barisan hadapan dalam membantu negara menangani COVID-19.

Antara yang diundang menonton upacara itu secara langsung di pentas terapung tersebut termasuklah para jururawat, pegawai polis, duta jarak selamat dan para guru.

Bagi Duta Jarak Selamat bersama Agensi Makanan Singapura (SFA), Kazi Kazhirin, 29 tahun, beliau teruja diundang menonton acara itu.

"Mengadakan perbarisan sekecil ini pun untuk saya adalah baik. Tiada penonton dan dengan keadaan sekarang juga, saya rasa adalah yang terbaik untuk mengadakannya dalam skala kecil dan membuat yang lebih besar apabila segalanya sudah lebih stabil," kata anak sulung tiga beradik itu.

Beliau sebenarnya adalah seorang pramugara. Namun disebabkan pelbagai gangguan yang ditimbulkan COVID-19, tidak banyak penerbangan boleh dijalankan.

"Jadi saya ambil pekerjaan sebagai Duta Jarak Selamat semenjak April 2020, semasa bermulanya tempoh pemutus rantaian jangkitan.

"Saya berasa syukur berpeluang mewakili ramai duta-duta jarak selamat yang bertugas di luar sana termasuk hari ini juga. Alhamdulillah dapat turun menonton perbarisan ini walaupun ia hanya dalam skala yang kecil sahaja," kata Encik Kazi.

Beliau yang masih lagi berkhidmat dengan syarikat penerbangan Jetstar sejak 2013 serta masih menantikan saatnya untuk dapat kembali terbang di awan biru.

(Gambar: Facebook/Lee Hsien Loong)

Anda boleh saksikan semula detik-detik perbarisan menerusi meWATCH. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan