Skip to main content

Iklan

Iklan

PKP: Solat Jumaat di Terengganu dibenar untuk maksimum 40 jemaah

Pelaksanaan solat Jumaat di Terengganu hanya dibenarkan dengan maksimum 40 jemaah dalam kalangan anak mukim, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PKP: Solat Jumaat di Terengganu dibenar untuk maksimum 40 jemaah

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Jan 2021 09:09PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 09:11PM

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan solat Jumaat di Terengganu hanya dibenarkan dengan maksimum 40 jemaah dalam kalangan anak mukim, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Encik Osman Muda berkata, jumlah 40 jemaah itu tidak termasuk imam, bilal, Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau pula, hanya dibenarkan kepada imam, bilal dan AJK masjid sahaja, dengan bilangan tidak melebihi 12 orang.

“Sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan kuliah duha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (20 Jan).

Jawatankuasa masjid dan surau juga perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), agar pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dapat berjalan dengan baik.

Encik Osman berkata semua Pegawai Agama Daerah diarahkan membuat pemantauan secara serius, bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP yang ditetapkan.

Tambahnya, kebenaran untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu jemaah dengan bilangan yang ditetapkan itu, sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Baginda menyeru supaya semua rakyat jelata tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes positif COVID-19 di Terengganu, dan berharap semua pihak memainkan peranan memastikan SOP dipatuhi dan sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri, serta keluarga masing-masing.

“Baginda berdoa agar pandemik COVID-19 ini dapat dikawal dan rantaian penyebaran dapat diputuskan dengan segera, agar kehidupan rakyat jelata kembali seperti biasa,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan