Skip to main content

Iklan

Iklan

Pfizer meterai perjanjian pelesenan global bagi pil COVID-19

Syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat Pfizer pada Selasa (16 Nov) mengumumkan perjanjian yang akan menjadikan pil antivirus COVID-19 yang bakal dihasilkan lebih murah kepada negara-negara paling miskin dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Pfizer meterai perjanjian pelesenan global bagi pil COVID-19

Gambar: AP

Diterbitkan : 17 Nov 2021 09:13AM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 09:17AM

GENEVA: Syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat Pfizer pada Selasa (16 Nov) mengumumkan perjanjian yang akan menjadikan pil antivirus COVID-19 yang bakal dihasilkan lebih murah kepada negara-negara paling miskin dunia.

Pfizer akan memberi lesen menghasilkan pil Paxlovid kepada pengeluar ubat generik untuk dibekalkan kepada 95 negara berpendapatan rendah dan sederhana meliputi sekitar 53 peratus penduduk dunia.

Di bawah perjanjian yang dimeterai bersama Kumpulan Paten Ubat-ubatan (MPP), Pfizer tidak akan menerima royalti daripada pengeluar ubat generik itu lantas menjadikan rawatan tersebut lebih murah.

Pfizer juga menghasilkan vaksin COVID-19 dengan makmal Jerman BioNTec.

Perjanjian bersama MPP itu masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan ubat antivirus itu lulus ujian yang sedang dijalankan.

Ubat Pfizer itu harus diambil bersama ubat HIV, ritonavir.

Data awal daripada percubaan yang sedang dijalankan menunjukkan risiko dimasukkan ke hospital atau kematian berkaitan COVID-19, berkurangan 89 peratus berbanding plasebo yang diberikan kepada golongan dewasa berisiko tinggi COVID-19 yang tidak dimasukkan ke hospital, tiga hari selepas menunjukkan gejala, menurut Pfizer.

Hasil ujian yang sama didapati dalam tempoh lima hari bermulanya gejala, tambah syarikat itu.

MPP yang berpangkalan di Geneva ialah pertubuhan antarabangsa yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berfungsi untuk memudahkan pembangunan ubat-ubatan bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Sekiranya diluluskan, pil itu dijangka dijual di pasaran "dalam beberapa bulan", kata Ketua Dasar MPP Esteban Burrone kepada AFP.

Pfizer juga menyatakan pada Selasa bahawa ia sedang membuat permohonan mendapatkan kelulusan bagi penggunaan darurat (EUA) di Amerika Syarikat bagi pil COVID-19 itu.

Pengumuman itu dibuat selepas MPP bulan lalu menandatanganiperjanjian serupa dengan pesaing Pfizer, Merck & Co bagi ubat antivirus molnupiravir.

Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, perjanjian itu akan membantu memberi akses lebih luas kepada molnupiravir di 105 negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengekalkan tahap amaran tertinggi berhubung penyebaran virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID19.

Encik Buronne berkata harga bagi pil Pfizer belum ditentukan tetapi katanya "dalam sekitaran berdaya saing...harga biasanya akan turun" kepada paras rendah. 

Sumber : AFP/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa