Skip to main content

Iklan

Iklan

Pesakit COVID-19 tidak divaksin 'atas pilihan sendiri' perlu tanggung bil perubatan dari 8 Dis

Mulai 8 Disember, semua pesakit COVID-19 yang tidak divaksin "atas pilihan sendiri" perlu membayar dan menanggung sendiri bil perubatan mereka jika mereka dimasukkan ke hospital atau kemudahan rawatan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Nov 2021 07:24PM Dikemas Kini : 08 Nov 2021 08:37PM

SINGAPURA: Mulai 8 Disember, semua pesakit COVID-19 yang tidak divaksin "atas pilihan sendiri" perlu membayar dan menanggung sendiri bil perubatan mereka jika mereka dimasukkan ke hospital atau kemudahan rawatan COVID-19. Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (8 Nov).

Buat masa ini, Pemerintah menanggung sepenuhnya bil perubatan COVID-19 semua rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang. Ini di samping mereka yang diuji positif sebaik pulang ke Singapura dari perjalanan ke luar negara.

"Buat masa ini, individu tidak divaksin membentuk sebilangan besar mereka yang memerlukan jagaan rapi pesakit dan menyumbang secara tidak seimbang kepada tekanan terhadap sumber jagaan kesihatan kita," menurut MOH.

Peraturan baru itu akan dikenakan ke atas pesakit COVID-19 yang layak menerima vaksinasi tetapi memilih untuk tidak mendapatkannya.

Bil perubatan bagi individu yang sudah divaksin satu dos akan ditanggung oleh Pemerintah sehingga 31 Disember bagi memberikan mereka masa untuk menerima vaksinasi lengkap, menurut MOH.

Pesakit COVID-19 yang tidak divaksin atas pilihan mereka sendiri masih boleh memanfaatkan aturan pembiayaan jagaan kesihatan biasa untuk membayar bil perubatan mereka jika boleh.

Rakyat dan Penduduk Tetap Singapura (PR) boleh mengakses subsidi biasa pemerintah dan MediShield Hayat atau Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) jika sesuai.

Individu yang tidak layak untuk vaksinasi, termasuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun atau pesakit tidak layak dari segi perubatan, akan tetap ditanggung sepenuhnya oleh Pemerintah bagi bil perubatan COVID-19 mereka, tambah MOH.

Mulai 1 Januari 2022, hanya rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) serta pemegang pas jangka panjang yang lengkap divaksin dan tidak melakukan perjalanan ke negara lain baru-baru ini akan menerima pembiayaan sepenuhnya oleh Pemerintah bagi bil perubatan COVID-19 mereka.

MOH menerangkan aturan semasa bagi pembiayaan bil perubatan COVID-19 sepenuhnya untuk semua rakyat Singapura, PR dan pemegang pas jangka panjang adalah untuk "mengelakkan pertimbangan kewangan yang menambah kepada ketidakpastian serta kebimbangan orang ramai ketika COVID-19 adalah penyakit yang baru muncul dan tidak dikenali."

"Bagi sebahagian besar mereka yang sudah divaksin, pendekatan khas untuk bil COVID-19 akan diteruskan sehingga keadaan COVID-19 menjadi lebih stabil," tambah MOH.

Berucap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata hospital jika boleh, lebih suka tidak mengenakan bayaran terhadap pesakit COVID-19 yang tidak divaksin atas pilihan mereka sendiri.

"Bagaimanapun kami perlu menyampaikan isyarat penting ini demi menggesa setiap orang supaya mendapatkan vaksin sekiranya mereka layak," tambah beliau.

Setakat Sabtu, 85 peratus penduduk Singapura sudah melengkapkan rejimen penuh mereka atau menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19. Sekitar 86 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 18 peratus pula kini dilindungi oleh suntikan dos penggalak.

Sumber : CNA/FZ/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa