Perintah berkurung COVID-19 jejas sambutan Aidilfitri di Saudi; jumlah jangkitan terus meningkat
Pelonggaran perintah berkurung di banyak negara yang sedang meraikan Aidilfitri dikhuatiri akan meningkatkan penularan jangkitan COVID-19.

(Gambar: AFP)
RIYADH: Pelonggaran perintah berkurung di banyak negara yang sedang meraikan Aidilfitri dikhuatiri akan meningkatkan penularan jangkitan COVID-19.
Umat Islam di Saudi biasanya menyambut Aidilfitri selama tiga hari dengan amalan seperti solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid, berkumpul dengan keluarga, memakai pakaian yang cantik, membeli hadiah dan manisan.
Namun tahun ini, Lebaran disambut secara sederhana kerana bimbang COVID-19 akan terus menular, dengan banyak negara mengetatkan semula perintah berkurung selepas melonggarkannya semasa Ramadan dan ini menyebabkan jumlah jangkitan meningkat dengan mendadak.
Arab Saudi, Mesir, Turki dan Syria adalah antara negara Islam yang melarang solat sunat Aidilfitri bagi membendung penularan virus tersebut dan Arab Saudi menguatkuasakan semula perintah berkurung selama lima hari selepas jangkitan meningkat lebih empat kali ganda sejak awal Ramadan, menjadikannya negara dengan jumlah jangkitan tertinggi dalam kalangan negara-negara Teluk, dengan lebih 72,000 kes.
Kaabah yang lengang tanpa jemaah, turut menyaksikan kawalan ketat dengan langkah-langkah tambahan dilaksanakan bagi mencegah jangkitan dan jumlah jemaah yang dibenarkan bersolat di sana juga dihadkan.
Di Masjid Al-Aqsa, kota suci umat Islam selepas Makkah dan Madinah, solat tidak dibenarkan, namun di Gaza, pihak berkuasa Hamas membenarkan ibadah itu sekalipun wilayah itu melaporkan kematian pertama dengan jemaah dilihat memakai pelitup dan menjarakkan diri antara satu sama lain semasa bersolat.
Di Afghanistan, Taliban mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari sebagai menghormati Aidlfitri dan ini dianggap mengejutkan sejak berlaku pertempuran berdarah selama berbulan-bulan dengan pasukan Afghanistan selepas menandatangani perjanjian penting dengan Amerika Syarikat.
Di Somalia, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan lebih 20 yang lain cedera akibat letupan semasa sambutan Lebaran, menurut polis.
Letupan itu berlaku sedang orang ramai sedang menari dan bernyanyi, menurut seorang saksi, namun punca letupan belum lagi jelas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.