Skip to main content

Peringatan buat individu disuntik 2 dos Sinovac, Sinopharm: Ambil dos ke-3 untuk kekalkan status vaksinasi

Individu yang sudah mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 Sinovac atau Sinopharm diingatkan supaya mengambil dos ketiga mereka untuk dianggap sebagai lengkap divaksin. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peringatan buat individu disuntik 2 dos Sinovac, Sinopharm: Ambil dos ke-3 untuk kekalkan status vaksinasi

Gambar fail vaksin COVID-19 Sinovac. (Gambar: Lillian Suwanrumph/AFP)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 08:41PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 08:42PM

SINGAPURA: Individu yang sudah mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 Sinovac atau Sinopharm diingatkan supaya mengambil dos ketiga mereka untuk dianggap sebagai lengkap divaksin.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa sejak Rabu (1 Dis), ia sudah secara berperingkat-peringkat mengirimkan makluman SMS kepada 70,000 individu yang sudah menerima dua dos vaksin tersebut. Mereka layak untuk mengambil dos ketiga vaksin tiga bulan selepas suntikan kedua mereka.

"Untuk mengekalkan status mereka sebagai sudah lengkap divaksin mulai 1 Januari 2022 dan seterusnya, mereka amat digalakkan supaya mengambil dos ketiga mereka sebelum 31 Dis 2021 selagi dos kedua mereka disuntik tiga bulan lalu," menurut MOH pada Khamis.

Selepas 1 Januari, mereka yang belum mengambil dos ketiga mereka akan mendapati status vaksinasi mereka kembali ke "vaksinasi sedang dijalankan".

Ini bermakna mereka akan dikenakan langkah pengurusan selamat vaksinasi yang berbeza serta sekatan di tempat kerja.

Peringatan MOH itu dibuat selepas ia mengumumkan pada Oktober bahawa vaksin COVID-19 Sinovac-CoronaVac akan disertakan ke dalam program vaksinasi negara Singapura sebagai rejim tiga dos.

Ia menarik perhatian bahawa meskipun kadar vaksinasi tempatan adalah tinggi, masih ada segelintir yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin mRNA kerana "pilihan peribadi yang tegas".

Pada Khamis, MOH menegaskan individu yang mengambil dua dos vaksin Sinovac atau Sinopharm "amat digalakkan" untuk mendapatkan vaksin mRNA bagi dos ketiga mereka melainkan mereka tidak layak dari segi perubatan untuk berbuat demikian.

"Jika tidak, mereka harus melengkapkan dos ketiga vaksin Sinovac-CoronaVac atau Sinopharm, mana-mana yang diterima sebagai dua dos pertama," tambahnya.

Mereka yang mengalami reaksi alahan kepada dos pertama vaksin mRNA dan mendapatka vaksin Sinovac bagi dos kedua mereka seharusnya juga melengkapkan dos ketiga dengan Sinovac, 28 hari selepas dos kedua mereka, untuk mengekalkan status vaksinasi mereka.

TEMPOH KELONGGARAN BAGI BUDAK BERUSIA 13 TAHUN

Bagi budak berusia 13 tahun pada 2022, tempoh kelonggaran akan dilanjutkan kepada mereka yang lahir pada Disember 2009 bagi memberi mereka masa mencukupi untuk divaksin, menurut MOH.

Mereka mesti sudah lengkap divaksin menjelang 1 Mac 2022 untuk memasuki tempat-tempat awam dan mengambil bahagian dalam kegiatan yang dikenakan langkah vaksinasi berbeza.

Ini adalah lanjutan kepada garis masa yang ditetapkan pada 1 Januari, apabila orang ramai yang memilih untuk tidak divaksin tidak boleh lagi menunjukkan hasil ujian negatif pra-acara untuk memasuki tempat-tempat yang melaksanakan langkah-langkah vaksinasi berbeza.

Hanya mereka yang sudah pulih daripada COVID-19, tidak layak dari segi perubatan untuk divaksin atau budak berusia 12 dan dan ke bawah akan dikecualikan daripada langkah-langkah tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita