Skip to main content

Iklan

Iklan

Perincian khusus sumbangan vaksin Pfizer COVID-19 kepada Johor masih dibincangkan: MOH

Singapura sedang berusaha ke arah mendermakan sekitar 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada Johor dan perincian khusus masih dibincangan bersama pihak-pihak relevan, menurut seorang jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (9 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Sep 2021 12:03PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 08:57PM

SINGAPURA: Singapura sedang berusaha ke arah mendermakan sekitar 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada Johor dan perincian khusus masih dibincangan bersama pihak-pihak relevan, menurut seorang jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (9 Sep).

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Besar Hasni Mohammad berkata pada Isnin (6 Sep) bahawa Pemerintah Singapura akan menyumbangkan 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan negeri Johor. Ini di samping 20,000 dos Sinovac yang disumbangkan pada hujung Julai lalu, sebagai tanda hubungan rapat antara kedua-dua pihak, tambah beliau.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap MOH itu menarik perhatian Singapura sudahpun mencapai kadar vaksinasi yang tinggi dan mempunyai bekalan, dengan semua vaksin tertera tarikh luput.

“Sementara itu, jiran-jiran kami di rantau ini memerlukan vaksin sedang ia meningkatkan usaha (vaksinasi) negara mereka manakala permintaan bagi program suntikan ketiga akan meningkat hanya pada awal tahun hadapan," jelas jurucakap berkenaan.

“Memandangkan semua pertimbangan ini, maka masuk akal untuk menyalurkan vaksin ke negara di mana ia amat diperlukan di rantau kita melalui sumbangan derma dan aturan pertukaran."

MOH menambah: "Maka itu, kami sedang berusaha ke arah mendermakan sekitar 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada Johor. Butiran khusus pendermaan itu masih lagi dibincangkan dengan pihak-pihak relevan termasuk syarikat farmaseutikal."

Ia menambah, dengan melanjutkan sokongan bersama dan membantu negara-negara jiran, Singapura boleh membantu meningkatkan tahap daya tahan keseluruhan rantau itu.

Apabila ditemu bual oleh Mediacorp pada 31 Mei lalu, Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri ingin meningkatkan bekalan vaksin Johor melalui pelbagai saluran termasuk dengan memperolehi dari Singapura.

Bulan lalu, Singapura mengumumkan ia akan menyumbangkan 100,000 dos vaksin Moderna kepada Brunei sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala untuk menangani pandemik COVID-19 yang berterusan.

Minggu lalu, diumumkan juga bahawa Singapura akan menghantar 500,000 dos vaksin Pfizer ke Australi sebagai sebahagian daripada perjanjian "perkongsian dos". Di bawah perjanjian itu, Australia akan mengirimkan semula jumlah sama vaksin ke Singapura pada Disember.

Johor adalah antara negeri yang secara konsisten melaporkan kenaikan harian empat angka dalam kes COVID-19. Jumlah terkumpul kes sepanjang 14 hari lalu sekitar 28,000 di wilayah selatan itu.

Buat masa ini, hanya Johor dan Kedah kekal di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang menyaksikan penguatkuasaan sekatan COVID-19 paling ketat.

Malaysia mencatatkan sekitar 1.9 juta kes COVID-19 dan lebih 19,000 kematian sejak awal pandemik.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan