Skip to main content

Iklan

Iklan

Perang lawan COVID-19 cetus ketegangan dalam masyarakat, kata PM Lee sempena Amanat NDP2021

Perjuangan melawan COVID-19 membawa beban pada Singapura dan "mencetuskan ketegangan" dalam masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada Ahad (8 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Aug 2021 09:01PM Dikemas Kini : 08 Aug 2021 09:35PM

SINGAPURA: Perjuangan melawan COVID-19 membawa beban pada Singapura dan "mencetuskan ketegangan" dalam masyarakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada Ahad (8 Ogos).

Menyifatkan koronavirus "sukar diatasi", PM Lee berkata bahawa setiap kali keadaan COVID-19 kelihatan terkawal, ia kembali membawa kejutan kepada negara.

Namun sepanjang krisis ini, "rakyat Singapura saling bekerjasama, menjaga satu sama lain dan bergantung kepada satu sama lain", ujar beliau dalam video yang dirakamkan di Tasik Simfoni di Kebun Bunga Singapura.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan di Tasik Symphony, Kebun Bunga, pada 8 Ogos 2021. (Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

"Perpaduan sosial kita terus bertahan. Tetapi kita tidak boleh berpeluk tubuh," kata Perdana Menteri.

"COVID-19 telah mencetuskan ketegangan dalam masyarakat kita dan membangkitkan masalah-masalah sulit yang perlu kita tangani."

KEADAAN COVID-19 S'PURA

Penemuan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong pada Julai menyaksikan penularan koronavirus merebak ke seluruh negara.

"Kita perlu mengetatkan semula (langkah-langkah) untuk memperlahankan penularan, melindungi warga tua kita dan memberi masa untuk memvaksin lebih ramai orang," kata PM Lee.

Ramai rakyat Singapura kecewa dengan perkembangan itu yang terasa seperti suatu kemunduran selepas negara mencapai kemajuan dalam melawan wabak tersebut. Bagaimanapun, matlamatnya adalah sentiasa melindungi kedua-dua nyawa dan mata pencarian," ungkap beliau.

Pemerintah perlu "mencapai keseimbangan yang sukar" melalui gabungan antara langkah-langkah kesihatan awam, disiplin sosial dan sokongan kewangan buat keluarga, pekerja serta perniagaan.

"Tentunya ada perkara-perkara yang mana kami boleh melakukan dengan lebih baik lagi," ujar PM Lee. "Namun akhirnya, kami memastikan setiap orang di Singapura, termasuk pekerja hijrahan, selamat. Mujur, jumlah kecil nyawa tewas kepada COVID-19."

Lebih dua pertiga penduduk Singapura kini sudah lengkap divaksin. Dalam kalangan warga emas, lebih 85 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin COVID-19.

Dengan penduduk kini lebih dilindungi daripada jangkitan COVID-19, negara dalam kedudukan lebih berdaya bingkas, ungkap PM Lee.

"Kita boleh menjangkakan pembukaan semula ekonomi kita dengan lebih berhati-hati dan langkah demi langkah. Inilah caranya bagaimana kita boleh melangkah ke kebiasaan baru."

PM Lee berkata Singapura kini perlu menangani beberapa masalah sulit seperti menyokong pekerja berpendapatan rendah, kegelisahan terhadap warga asing serta pergeseran kaum dan agama.

PELUANG BUAT PEKERJA BERGAJI RENDAH

Pekerja bergaji rendah yang mempunyai simpanan lebih rendah paling teruk terjejas oleh COVID-19 disebabkan oleh kekurangan pendapatan dan kehilangan mata pencarian yang tidak dijangka.

Sedang Singapura beralih ke sebuah ekonomi yang semakin bertunjangkan kemahiran, pekerja bergaji rendah akan memerlukan sokongan yang lebih berterusan, kata PM Lee.

Satu kumpulan kerja perikatan tiga pihak sudah melakar saranan bagi skim-skim seperti Skim Daya Kerja dan Model Gaji Progresif bagi pekerja berpendapatan rendah. Tujuannya adalah untuk menaikkan gaji mereka dan mewujudkan peluang untuk kemajuan pekerjaan.

"Kemajuan sebenar bagi pekerja berpendapatan rendah adalah bahagian yang penting dalam pertumbuhan yang inklusif," ujar PM Lee.

GELISAH TERHADAP WARGA ASING

Perdana Menteri berkata kegelisahan warga Singapura terhadap pemegang pas kerja warga asing juga perlu ditangani.

"Pemegang pas kerja membantu mengembangkan ekonomi kita dan mewujudkan lebih banyak peluang buat kita. Apabila kita melengkapi tenaga kerja kita sendiri dengan kemahiran-kemahiran dari merata dunia, lebih banyak syarikat akan melabur di sini dan ini kemudian akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi rakyat Singapura. Ini adalah satu kitaran yang baik," ungkap beliau.

Bagaimanapun, apabila terdapat sejumlah besar pemegang pas kerja, orang ramai "secara lumrah akan menjadi khuatir" tentang persaingan bagi merebut pekerjaan, dengan ketidaktentuan COVID-19 memburukkan lagi kebimbangan tersebut.

"Pemegang pas kerja mengukuhkan pasukan tetapi boleh juga bersaing secara langsung dengan rakan-rakan sekerja tempatan. Kadangkala rakyat tempatan berasa tidak dilayani dengan adil, misalnya apabila mereka tidak diambil bekerja atau dinaikkan pangkat," ulas Perdana Menteri.

Beliau juga menarik perhatian kepada pergeseran sosial apabila sebilangan pemegang pas kerja dan keluarga mereka belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan Singapura.

"Saya memahami kebimbangan dan masalah ini," kata PM Lee. "Pemerintah akan menanganinya."

Dasar-dasar sudahpun disesuaikan untuk mengurus mutu, jumlah dan penumpuan warga asing di Singapura, kata beliau. Sekiranya ini dilakukan dengan baik, Singapura boleh terus mengalu-alukan pekerja hijrahan dan pendatang asing baru.

"Dasar memandang ke dalam bercanggah dengan kepentingan asas kita. Ia akan menjejas kedudukan Singapura sebagai sebuah hab global dan serantau. Ia akan menjejas pekerjaan dan peluang kita.

"Paling penting, ia bertentangan dengan nilai-nilai keterbukaan kita dan penerimaan orang lain yang berbeza daripada kita. Kita menjunjung dan menegakkan nilai-nilai ini dan oleh kerana ia telah berakar umbi dalam diri kita, ia sudah membantu kita maju sejak sekian lama sebagai sebuah negara yang bersatu padu," tambah beliau.

KAUM DAN AGAMA

Isu-isu kaum dan agama mesti ditangani dengan berhemah dan berhati-hati, kata PM Lee sambil menambah bahawa memelihara keharmonian sosial "memerlukan usaha tanpa henti".

PM Lee turut menarik perhatian kepada norma-norma sosial yang berubah dengan setiap generasi, dibentuk oleh pengalaman hidup, aspirasi dan trend luar yang berbeza.

Beliau menyentuh tentang insiden-insiden perkauman baru-baru ini yang disebarkan secara meluas dan digembar-gemburkan di media sosial.

"Insiden-insiden seumpama itu membimbangkan tetapi ia bukan satu norma. Banyak lagi interaksi antara kaum yang muhibah berlaku setiap hari,tetapi jarang ditularkan," ujar PM Lee.

"Insiden-insiden negatif tidak bermakna bahawa pendekatan kita gagal. Sebaliknya, ia mencerminkan bagaimana isu-isu kaum dan agama akan selalu melibatkan emosi dan boleh dengan mudah memecahbelahkan kita."

Maka itu, tambah PM Lee, membangkitkan dan akur tentang isu-isu sensitif ini sangat membantu dan ini perlu dilakukan secara jujur, berhemah ​​dan dengan penuh hormat.

"Ia memerlukan usaha berterusan beberapa generasi untuk menyatukan kaum dan agama kita serta mengembangkan ruang awam yang kita kongsi bersama sekarang. Keharmonian ini tidak berlaku dengan setiap kumpulan menegaskan jati diri dan hak masing-masing; ia adalah hasil persefahaman bersama dan kompromi oleh semua pihak - majoriti dan minoriti," ungkap PM Lee.

Beliau menambah Singapura tidak seharusnya berputus asa dengan keseimbangan sulit yang sukar dikecapi ini.

"Ia adalah tanggungjawab Pemerintah untuk menguruskan isu-isu ini bagi pihak rakyat Singapura tidak kira kaum, bahasa dan agama. Untuk melakukannya, kami memerlukan kerjasama, sokongan dan kepercayaan anda."

Tekanan yang dihadapi oleh ramai orang bukan sahaja dialami oleh Singapura saja, malah banyak lagi negara yang sedang bergelut dengan "perpecahan yang jauh lebih teruk", kata PM Lee.

Dari semasa ke semasa, krisis-krisis baru akan menguji tekad dan perpaduan Singapura, namun COVID-19 sudahpun menunjukkan bahawa kita boleh menghadapinya dengan penuh semangat dan keazaman, kekal sebagai sebuah negara yang bersatu, ujar beliau.

"Seperti tema lagu NDP tahun ini, 'Kami pernah melakukannya dan kami akan melakukannya sekali lagi'. Saya yakin Singapura boleh terus membina sebuah masyarakat yang harmoni, ekonomi yang lebih makmur dan negara yang berjaya buat generasi-generasi seterusnya." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan