Skip to main content

Iklan

Iklan

Penumpang boleh bayar tambang guna kad tanpa sentuh Mastercard mulai April

Mulai April, para penumpang boleh menggunakan kad bank tanpa sentuh Mastercard ataupun telefon mudah alih yang bersesuaian untuk membayar tambang bas awam dan kereta api, dengan kad Visa dijangka bakal digunakan pada "lewat tahun ini".

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang boleh bayar tambang guna kad tanpa sentuh Mastercard mulai April

(Gambar: LTA/Twitter)

Diterbitkan : 07 Mar 2019 08:24PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 08:26PM

SINGAPURA: Mulai April, para penumpang boleh menggunakan kad bank tanpa sentuh Mastercard ataupun telefon mudah alih yang bersesuaian untuk membayar tambang bas awam dan kereta api, dengan kad Visa dijangka bakal digunakan pada "lewat tahun ini".

Menteri Negara Kanan Pengangkutan Janil Puthucheary mengumumkan demikian semasa perbahasan peruntukan bagi kementeriannya hari ini (7 Mac).

Dr Puthucheary berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bekerjasama dengan Mastercard untuk menguji penggunaan kad-kad bank tanpa sentuh bagi pengangkutan awam, di bawah sistem tiket berdasarkan akaun bank pada Mac 2017.

Ujian itu ternyata "berjaya" dan LTA kini sudah bersedia untuk melancarkan khidmat itu sepenuhnya di bawah jenama baru, yang diberi nama 'SimplyGo'.

Dalam satu kenyataan media berasingan hari ini (7 Mac), LTA menyatakan bahawa para penumpang boleh mendaftarkan diri bagi akaun SimplyGo dan menghubungkan pelbagai kad bank tanpa sentuh menerusi portal atau aplikasi SimplyGo TransitLink. Para peserta ujian perintis juga boleh terus menggunakan kad Mastercard yang sama, menurutnya.

Para penumpang yang mempunyai kad-kad nilai simpanan seperti kad konsesi, ez-link ataupun kad NETS FlashPay boleh menggunakan khidmat itu apabila mereka mempertingkatkan kad mereka menjelang akhir tahun ini, menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menyusuli pengumuman itu, Mastercard menyatakan ia "berbesar hati" menjadi jenama pembayaran antarabangsa pertama untuk bekerjasama dengan LTA bagi pelancaran khidmat SimplyGo.

KENDERAAN TANPA PEMANDU AKAN WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN BARU

Dr Puthucheary juga menarik perhatian bahawa kenderaan-kenderaan pandu sendiri (AV) merupakan salah satu bidang teknologi yang akan membolehkan Pemerintah untuk mencipta semula cara bagaimana pengangkutan awam disediakan serta menawarkan khidmat lebih baik menerusi khidmat laluan lebih dinamik.

Sebelum ini, bas tanpa pemandu dilaporkan akan diperkenalkan di Punggol, Tengah dan Daerah Inovasi Jurong pada 2022. Visi itu semakin menjadi kenyataan selepas Universiti Teknologi Nanyang dan Volvo Buses melancarkan sebuah bas elektrik pandu sendiri berukuran 12 meter pada awal minggu ini.

Dr Puthucheary berkata, ia juga boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru dalam sektor tersebut.

Misalnya, ST Engineering sedang menjalankan ujian bagi bas-bas berautonomi dan ia sudah bekerjasama dengan SBS Transit untuk mendapatkan beberapa kapten basnya bertindak sebagai pengendali keselamatan, tambah beliau.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan